Exco Perlis jelas kekhilafan dakwaan promosi syarikat judi dalam talian

Exco Perlis jelas kekhilafan dakwaan promosi syarikat judi dalam talian

KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Wan Zikri Afthar Ishak menjelaskan bahawa jersi pasukan Perlis Old School yang didakwa memaparkan logo syarikat judi dalam talian adalah dibeli secara borong di pasaran terbuka sempadan negeri ini.

Menurut beliau, hasil semakan bersama pihak pengurusan pasukan mendapati jersi jenis siap sedia itu telah dipasarkan dan boleh dipilih berdasarkan pelbagai corak tersedia untuk kegunaan segera.

Beliau berkata, pengurusan pasukan hanya melakukan proses cetakan nombor pada jersi sedia ada.

“Berhubung isu logo yang terdapat pada jersi, selepas hasil semakan dibuat bersama pihak pengurusan pasukan, didapati jersi tersebut merupakan jersi jenis siap sedia yang dibeli secara borong di pasaran terbuka di sempadan negeri,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan kerajaan negeri dikatakan mempromosikan judi dalam talian melalui pemakaian jersi yang mempunyai logo syarikat judi dalam talian tersebut semasa penganjuran perlawanan itu.

Penularan itu turut mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya yang menggesa agar semua penganjur program di negeri ini perlu lebih teliti dalam soal tajaan, pakaian rasmi, bahan promosi dan rakan kerjasama.

Wan Zikri berkata, penyertaan dalam perlawanan bola sepak tersebut sama sekali tidak bertujuan untuk mempromosikan mana-mana jenama termasuk berkaitan dengan aktiviti perjudian.

“Pertama, adalah ditegaskan bahawa kehadiran saya dalam program sukan tersebut adalah atas jemputan bagi menyantuni pasukan Bekpes Hot FM serta menyokong aktiviti sihat dalam kalangan rakyat, khususnya golongan belia,” katanya.

Ujar Wan Zikri, pihaknya sentiasa berpegang teguh kepada prinsip dan nilai yang selari dengan ajaran agama serta norma masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menurunkan hantaran itu sebagai syiar insaf, taubat dan penyesalan.

“Sebagai seorang Muslim yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul, saya beriman dengan pengharaman judi dan menolak untuk terlibat dengan apa yang berkaitan dengan judi,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top