am@hmetro.com.my
Balik Pulau: EXCO Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencederakan isterinya, Ahad lalu.
Tertuduh, Fahmi, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Berdasarkan pertuduhan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas, kira-kira 10 malam, 22 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang, Datuk Nazran Mohd Sham bersama Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Afandi Zulkifli dan Lim Jin Hong manakala tertuduh diwakili peguam, Dr Shamsher Singh Thind.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Terdahulu, sebelum prosiding, Shamsher memohon mahkamah membuat satu ketetapan dengan pihaknya mengajukan notis bantahan berhubung isu sama ada pertuduhan berkenaan masih sah atau sebaliknya sebelum pegakuan tertuduh direkodkan.
Beliau merujuk Seksyen 260(1) Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan kesan terhadap sesuatu kesalahan yang boleh dikompaun sama ada pertuduhan masih belum dimulakan atau sedang berjalan.
Katanya, perkara itu penting bagi memastikan layanan serta implikasi undang-undang terhadap kesalahan yang didakwa, khususnya melibatkan isu sama ada kesalahan tersebut masih berstatus tertunggak atau telah diselesaikan melalui kaedah kompaun.
“Dalam situasi kesalahan telah dikompaunkan oleh mangsa, maka tiada lagi keperluan untuk meneruskan pendakwaan kerana kesalahan berkenaan dianggap telah diselesaikan sekali gus membawa kepada pembebasan tertuduh.
“Pada peringkat ini memandangkan tiada pendakwaan lagi sekiranya mangsa dalam kes ini telah memaafkan pelaku maka kesalahan pelaku telah dikompaun dan tiada pihak boleh dituduh semula selepas kesalahannya diberi kebebasan.
“Jadi saya mohon mahkamah buat ‘ruling’ dahulu sama ada pertuduhan ini boleh dibacakan atau tidak. Saya mohon bantahan diterima dan pertuduhan ini dibatalkan,” katanya.
Nazran berkata, pihak pendakwaan menghormati pandangan dikemukakan peguam tertuduh berhubung isu berkenaan namun beliau menegaskan kes tersebut melibatkan kesalahan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan bukannya satu kesalahan yang boleh dikompaun.
“Isu ini dianggap besar kerana ia menyentuh persoalan asas sama ada peruntukan di bawah Seksyen 326A itu sendiri tergolong dalam kategori kesalahan yang boleh diselesaikan secara kompaun.
“Kesalahan di bawah seksyen tersebut mempunyai ciri-ciri tersendiri yang tidak boleh disamakan dengan kesalahan lain yang mungkin layak untuk dikompaun,” katanya.
Mahkamah kemudian menolak permohonan Shamser untuk tidak membacakan pertuduhan kes berkenaan dan membenarkan pertuduhan tersebut dibacakan terhadap anak guamnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




