mohamadridzuan@hmetro.com.my
Shah Alam: “Saya memang masih berlakon dan okey untuk terima apa-apa tawaran pada masa akan datang,” kata pelakon Eyka Farhana.
Kenyataan ini sekali gus menepis dakwaan mengatakan isteri kepada pemain bola sepak Akhyar Rashid dan ibu kepada Muhammad Luay Khayr ini sudah mengucapkan selamat tinggal kepada industri seni.
Eyka atau nama sebenar, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 31, berkata selagi dirinya masih berdaya, dia akan terus berlakon.
“Sebabnya banyak karakter yang saya rasa kena cuba lagi kerana lakonan adalah minat saya. Saya masih lagi nak teroka lebih banyak watak-watak yang belum pernah dibawa.
“Cuma selepas bergelar isteri dan ibu, saya perlu lebih bijak mengatur masa terutama dalam memastikan tanggungjawab terhadap keluarga tidak terabai,” katanya yang ditemui di lokasi pengambaran telefilem Gerimis Rindu di sini, semalam.
Pelakon yang mencipta nama menerusi drama Bila Hati Memilih Dia berkata, peminat juga sering mengirimkan mesej bertanyakan perkembangan kariernya.
“Mereka masih lagi nak tengok saya berlakon. Alhamdulillah… kalau terjumpa, mereka masih lagi ingat cerita-cerita lama saya zaman drama Juvana dulu
“Saya pun merindui suasana bekerja dan berada di set penggambaran seperti dilalui sebelum ini. Bagi saya, sekarang sudah ada keseimbangan antara kerjaya dan keluarga.
“Ada masa saya menjalani penggambaran, tetapi selepas itu mungkin ada tempoh rehat selama dua hingga tiga bulan. Jadi, saya boleh meluangkan masa bersama anak dan suami,” katanya.
Katanya, dia terbuka menerima naskhah yang menarik terutama jika jalan cerita dan karakter ditawarkan mampu memberikan impak serta kepuasan kepada diri.
“Kalau jalan cerita menarik, saya sanggup meluangkan masa untuk menjayakannya. Sebagai pelakon, saya juga mahu menerima naskhah yang bagus dan watak menarik.
“Sekurang-kurangnya, jika saya perlu meninggalkan anak untuk bekerja, saya tahu pengorbanan itu berbaloi demi menjayakan sebuah cerita dan karakter yang baik.
“Tetapi, pemilihan tawaran juga bergantung pada kesesuaian masa. Kadang kala bulan tertentu kurang sesuai untuk bekerja kerana anak lebih memerlukan perhatian saya. Jadi, saya akan mempertimbangkan perkara itu,” katanya.
Telefilem Gerimis Rindu arahan Wan Cromox turut menampilkan Redza Rosli, Datuk Seri Eizlan Yusof, Zaryn Min dan Shazia Rozaimi.
Ia akan disiarkan menerusi slot Istimewa Ramadan TV3 pada tahun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




