Eyka Farhana Gementar Tapi Teruja, Persiapan Nikah Hampir Selesai

Eyka Farhana Gementar Tapi Teruja, Persiapan Nikah Hampir Selesai

Menjelang hari bahagianya, pelakon Eyka Farhana memilih untuk tidak terlalu terbuka berkongsi tarikh sebenar pernikahannya.

Namun begitu, persiapan majlis bersama tunangnya, pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid kini hampir selesai.

Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 30, berkata segala perancangan berjalan lancar dan kini sudah siap sekitar 80 peratus.

“Alhamdulillah, semua dalam keadaan baik. Majlis kami bukanlah terlalu eksklusif, tapi memang dihadkan kepada keluarga dan teman rapat sahaja,” ujarnya.

Eyka berkata demikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka pereka fesyen Rizman Ruzaini di Kuala Lumpur, malam Rabu.

Walaupun enggan mendedahkan tarikh, Eyka tidak menafikan rasa berdebar kian terasa setiap kali hari mendekat.

Namun, berkat doa dan sokongan peminat sedikit sebanyak memberi ketenangan buat dirinya.

“Perasaan tu bercampur… berdebar, teruja, gementar… semua ada. Tapi saya bersyukur sebab ramai yang mendoakan. Saya cuma harap semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan pada hari majlis itu nanti,” katanya.

Tambah Eyka, fasa perkahwinan adalah permulaan baru yang memerlukan penyesuaian, namun dia dan Akhyar sedia belajar dan membina kehidupan bersama dengan penuh sabar dan kasih sayang.

Eyka juga menyatakan bahawa Akhyar sentiasa menjadi tulang belakangnya dalam kerjaya seni, malah, dia tidak akan berhenti berlakon meskipun sudah berumah tangga nanti.

“Dia tak pernah halang saya. Sebaliknya, dia sangat menyokong. Kerjaya saya tetap akan diteruskan lepas kahwin, cuma mungkin masa akan dibahagikan lebih baik antara suami dan kerja,” katanya lagi.

Sebelum ini, Eyka dan Akhyar dikhabarkan bakal bernikah pada awal Mei selepas mengikat tali pertunangan pada 4 Ogos 2024.

Artikel Berkaitan: Bakal Nikah Bulan Depan, Eyka Farhana Enggan Kongsi Tarikh Kahwin

Scroll to Top