Pelakon, Eyka Farhana meluahkan rasa terkejut dan trauma selepas melihat sebuah bas ekspres dipandu laju secara berbahaya ketika dalam perjalanan ke Sepang, pagi tadi.
Eyka atau nama penuhnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi berkata, kejadian itu berlaku di hadapannya sendiri sehingga membuatkan dia berasa cemas dan menggigil kerana bimbang risiko kemalangan.
“This morning masa otw to Sepang i saw this aerobus bawa laju gila, walaupun dekat selekoh pun masih bawa laju sampai anxiety saya dibuatnya. Merbahaya sangat,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
Menurut Eyka, insiden itu jelas membuktikan masih ada pemandu kenderaan berat yang tidak mengambil iktibar daripada pelbagai tragedi kemalangan membabitkan bas dan lori sebelum ini.
“Tak faham eh korang ni. Lepas banyak kes kemalangan membabitkan bas masih lagi tak beringat. Bas dan lori ni bawa ramai nyawa, tapi pecut macam tu. Orang kata kalau nak jadi, jadi juga, tapi risiko boleh dikurangkan kalau bawa berhati-hati,” ujarnya.
Pelakon drama Budak Hostel Otai School itu berkata, dia sempat mencatat nombor plat bas terbabit sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Isteri kepada pemain bola sepak Kebangsaaan, Akhyar Rashid itu turut menyeru orang ramai supaya tidak berdiam diri sekiranya ternampak pemanduan berbahaya di jalan raya.
“Kalau nampak bas atau lori bawa laju sampai membahayakan, tolong rakam dan terus buat aduan. Sama-sama kita elak tragedi,” katanya.