am@hmetro.com.my
Bera: “Adik bukan ‘minah rempit’, sebaliknya memang meminati aktiviti pemotoran sejak remaja,” kata Emey Lee, 45, abang kepada Roslinawati Ramli, 33, yang maut selepas motosikal Yamaha RXZ ditungganginya terbabas di Kilometer 394, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuala Terengganu, Jumaat lalu.
Menurutnya, arwah mesra dipanggil Eyna Lee bekerja sebagai jururawat di Singapura, sudah lama memiliki RXZ sendiri sejak usia 21 tahun dan setiap kali menyertai program berkaitan motosikal, keselamatan menjadi keutamaan keluarga.
“Tidak timbul istilah adik tinggal suami untuk pergi RXZ Member 7.0 seperti yang diperkatakan. Malah, dia ke sana bersama suaminya, Mohd Nor Mustapa, 34, dua anak mereka berusia 4 tahun dan 6 tahun selain ibu bapa mentua serta ahli keluarga lain.
“Arwah memang tidak pernah ‘miss’ (ketinggalan) menyertai program itu kerana hobinya sejak remaja. Cuma kali ini dia menunggang RXZ milik suami,” katanya ketika dihubungi.
Emey berkata, meskipun sedih dengan kehilangan adiknya yang juga anak keenam daripada tujuh beradik, keluarga reda dengan ujian itu.
Kali terakhir katanya bertemu dengan arwah ialah pada 29 Julai lalu di Felda Tementi.
“Arwah seorang yang ceria, peramah, pemurah dan suka membantu orang lain. Dia juga rajin bersedekah, terutama sedekah Subuh,” katanya.
Jenazah Roslinawati selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tementi jam 2.45 pagi semalam dengan diiringi kehadiran ramai kenalan dan penduduk setempat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian berlaku jam 12 tengah hari apabila motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di lokasi kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd