puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Ezzanie Jasny mendedahkan realiti sebenar di sebalik dunia lakonan tidak seindah yang disangka, termasuk berdepan cabaran mental dan emosi setiap kali menjiwai sesuatu watak.
Menerusi hantaran di Threads, Ezzanie atau nama sebenarnya, Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 27, berkongsi bahawa kerjaya sebagai anak seni bukanlah semudah yang dilihat oleh mata kasar penonton.
“Orang selalu nampak berlakon ini macam senang, tetapi sejujurnya tidak. Ada hari contohnya, nak buat babak menangis pun jadi susah.
“Bukan sebab tidak merasai watak itu atau jiwa itu tiada, tetapi mungkin diri sendiri sudah terlalu penat. Kadang-kadang sampai tidak kenal mana satu diri sebenar dan mana satu watak itu. Seolah-olah badan kita pun keliru,” tulisnya.
Tambah Ezzanie, proses untuk beralih dari satu watak ke watak yang lain merupakan satu fasa yang amat meletihkan kerana setiap karakter meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.
“Kita membawa perasaan itu dan meninggalkan sedikit ‘diri’ kita dalam setiap cerita. Kadang-kadang, ia meletihkan diri kita lebih daripada apa yang orang luar sedar.
“Sekarang saya sedang menghabiskan satu drama dan dalam tempoh 15 hari lagi, saya akan berlakon dalam drama yang lebih berat. Tipulah kalau cakap tidak risau, saya hanya ada masa empat hari untuk bertukar menjadi karakter yang berbeza sepenuhnya,” tulisnya lagi.
Bagaimanapun, Ezzanie menegaskan komitmennya terhadap kerjaya tetap menjadi keutamaan demi menghiburkan peminat di televisyen.
“Walau bagaimanapun, pada akhirnya tidak kira betapa penat sekalipun, kami tetap akan munculkan diri. Kami tetap cuba dan berikan yang terbaik khas untuk anda yang menonton,” kongsinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




