firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) menggesa semua Persatuan Bolasepak (FA) kembali ke landasan asal dengan mempergiat usaha mengesan bakat muda hingga ke peringkat paling bawah merangkumi sekolah, komuniti, kampung dan taman perumahan.
Presidennya, Mohd Firdaus Mohamed menegaskan, pendekatan pembangunan tidak boleh lagi tertumpu kepada saluran elit semata-mata seperti Sekolah Sukan Negeri atau Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), sebaliknya perlu diperluas secara menyeluruh di seluruh pelusuk negara.
Menurut beliau, realiti bola sepak tempatan menunjukkan ramai pemain berbakat tidak melalui sistem akademi rasmi, sebaliknya lahir daripada persekitaran akar umbi yang kurang mendapat perhatian.
“Bakat ini bukan hanya wujud di Sekolah Sukan atau Akademi Mokhtar Dahari. Di sekolah biasa, di kampung, di taman perumahan di situlah banyak permata tersembunyi yang kita terlepas pandang.
“Jadi FA negeri perlu turun padang, cari dan gilap bakat ini dari bawah. Jangan tunggu mereka datang kepada sistem,” katanya yang juga mantan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Beliau berkata demikian ketika mengulas keperluan mendesak untuk memperkukuh semula ekosistem pembangunan pemain tempatan yang dilihat semakin mengecil skop pencariannya.
Dalam masa sama, Mohd Firdaus mengakui peranan Sekolah Sukan dan NFDP tetap signifikan dalam melahirkan pemain berkualiti, namun menegaskan ia tidak wajar menjadi satu-satunya ‘laluan rasmi’ ke peringkat lebih tinggi.
Sebaliknya, katanya, FA perlu memainkan peranan lebih proaktif sebagai pencetus utama pembangunan dengan menggerakkan program pencarian bakat secara konsisten di peringkat komuniti.
Lebih membimbangkan, beliau turut menyuarakan kekecewaan terhadap sikap segelintir persatuan yang didakwa tidak menjalankan fungsi pembangunan dengan serius sehingga menjejaskan rantaian bakat negara.
“Ada yang buat kerja, tapi ada juga yang tidak. Bila ini berlaku, proses mengenal pasti pemain untuk skuad kebangsaan jadi terbantut.
“Kesannya, kita terpaksa kembali bermula dari bawah kerana asas pembangunan itu sendiri tidak kukuh,” jelasnya.
Tegas beliau, sudah tiba masanya semua FA memainkan peranan sebenar sebagai ‘pencari bakat’ dan bukan sekadar pentadbir, demi memastikan masa depan bola sepak negara terus terjamin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




