FA tidak hukum Ratcliffe

FA tidak hukum Ratcliffe

Manchester: Pemilik Manchester United, Jim Ratcliffe tidak akan dikenakan tindakan disiplin susulan kenyataannya yang menyebut Britain ‘dijajah’ oleh pendatang, menurut kenyataan Persatuan Bolasepak England (FA).

Ratcliffe sebelum ini memohon maaf atas pilihan katanya, namun menegaskan isu imigresen perlu dibangkitkan secara terbuka.

Kenyataan asalnya turut menerima teguran Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.

FA memaklumkan mereka sudah memberi peringatan kepada Ratcliffe mengenai tanggungjawabnya sebagai individu terbabit dalam bola sepak England ketika menyertai sesi media, namun tidak akan mengambil tindakan lanjut.

Dalam wawancara terdahulu, Ratcliffe menyentuh isu migrasi tinggi dan jumlah penerima bantuan sosial yang menurutnya memberi kesan kepada ekonomi United Kingdom.

Sementara itu, pengurus United, Michael Carrick enggan mengulas lanjut kontroversi berkenaan, sebaliknya menekankan nilai kesaksamaan dan kepelbagaian yang menjadi tradisi kelab.

“Kesaksamaan, kepelbagaian dan saling menghormati adalah sesuatu yang kami pegang setiap hari,” katanya menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Everton.

United yang kini menghuni tangga keempat dengan 45 mata daripada 26 perlawanan mahu mengukuhkan kedudukan kelompok empat teratas bagi memastikan slot Liga Juara-Juara musim depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top