London: Penjaga gol Poland, Lukasz Fabianski menyertai semula West Ham United dengan kontrak selama setahun selepas pemain berusia 40 tahun itu meninggalkan kelab London tersebut sebagai ejen bebas pada penghujung musim lalu, kata kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, semalam.
Fabianski, yang membuat 216 penampilan dalam tempoh tujuh tahun bersama West Ham antara ramai pemain senior yang dilepaskan oleh kelab apabila kontrak mereka tamat pada penghujung kempen 2024-25.
Namun begitu, West Ham memutuskan untuk menawarkan kontrak setahun selepas mereka hanya mempunyai dua penjaga gol senior dalam skuad, Mads Hermansen dan Alphonse Areola selepas Wes Foderingham menyertai kelab Cyprus, Aris Limassol, secara tetap kelmarin.
“Walaupun dia pernah bersama kami sebelum ini, faktor utama adalah dia masih merupakan penjaga gol berkualiti tinggi dan profesional yang hebat sekali gus pilihan sempurna untuk posisi yang kami perlukan,” kata ketua jurulatih West Ham, Graham Potter, dalam satu kenyataan.
“Ia satu kontrak yang masuk akal untuk semua pihak. Lukasz amat mengenali kelab ini, sangat dihormati dan disukai oleh semua orang di sini. Personaliti dan wataknya akan menjadi contoh terbaik, terutamanya untuk pemain muda kami.
“Dia seseorang yang benar-benar mengambil berat tentang West Ham United dan mahu membantu kami dalam apa cara sekalipun. Kami sangat gembira dia kembali bersama kami.”
West Ham telah melepaskan lapan gol, jumlah tertinggi dalam liga musim ini dengan Hermansen, rekrut baharu, mengawal gawang. Mereka kini berada di tangga ke-16 menjelang perlawanan derby London menentang Tottenham Hotspur pada Sabtu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




