Fad, Ajak, Elly, Cik Piah, Chiwan, Kai, Irsyad dan DJ Lin berganding suara memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi lagu dan muzik video raya terbaharu berjudul Gurindam Aidilfitri.
Lagu raya rasmi stesen Suria FM ini telah dilancarkan secara rasmi pada 9 Mac 2026 sebagai antara usaha menyemarakkan lagi suasana Syawal.
Menampilkan gabungan irama moden dan tradisional, Gurindam Aidilfitri membawa nuansa ceria yang sarat dengan elemen nostalgia serta semangat kekeluargaan yang cukup dekat dengan sambutan Aidilfitri.
Karya tersebut diterbitkan oleh Lsandbeats Legacy dengan komposisi hasil ciptaan Luca Sickta dan Nazif Analog, manakala liriknya ditulis oleh Luca Sickta, Nazif Analog serta B-Heart.
Muzik video lagu ini pula menampilkan pelbagai momen yang sinonim dengan suasana raya seperti saling bermaafan, kunjung-mengunjung, menikmati juadah bersama serta mencipta kenangan indah bersama keluarga dan sahabat handai.
Bagi menambahkan lagi keterujaan, Suria FM turut memperkenalkan Gurindam Aidilfitri Dance Challenge yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sehingga RM3,000.
Peserta hanya perlu mengikuti langkah tarian rasmi seperti yang dipaparkan dalam muzik video berkenaan. Orang ramai juga digalakkan untuk menyertai cabaran itu bersama ahli keluarga dan rakan-rakan kerana konsepnya mudah serta lebih meriah jika dilakukan secara berkumpulan.
Hadiah yang ditawarkan ialah RM1,500 untuk tempat pertama, RM1,000 bagi tempat kedua dan RM500 untuk tempat ketiga.
Menerusi pelancaran lagu ini, diharap Gurindam Aidilfitri dapat menjadi antara lagu pilihan yang menceriakan Aidilfitri 2026 dan mengajak masyarakat menyambut Syawal dalam suasana penuh kegembiraan, kemaafan dan kebersamaan.




