Fadhlina imbau zaman sekolah, beli akhbar BH untuk ikuti Malam Puisi Riong

Fadhlina imbau zaman sekolah, beli akhbar BH untuk ikuti Malam Puisi Riong

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Sebelum Malam Puisi Riong diadakan, saya akan membeli (akhbar) Berita Harian (BH) untuk membaca mengenai penganjurannya.”

Demikian pengalaman dikongsikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sewaktu bergelar pelajar sekolah menengah yang mana ketika itu beliau mengambil aliran Sastera.

Ketika itu, beliau membeli akhbar BH untuk mengikuti bait-bait perkembangan mengenai Malam Puisi Riong, kerana waktu berkenaan tidak semaju sekarang dengan segala maklumat atau perkembangan semasa boleh diakses di hujung jari.

“Saya ikuti Malam Puisi Riong ini sejak di bangku sekolah. Pada malam puisi ini sentiasa saya ikuti memandangkan ketika itu saya adalah pelajar aliran Sastera di sekolah menengah.

“Dan malam puisi ini saya ikuti sepenuhnya. Kalau malam itu diadakan, esok pagi saya akan pergi beli akhbar Berita Harian untuk mengikuti apakah laporan berkaitan dengan malam puisi terbabit.

“Zaman itu tidak ada program (disiarkan secara) online. Jadi, kita hanya menunggu berita esok paginya untuk mengetahui apakah yang dibicarakan, siapakah yang datang, siapakah sasterawan yang menyampaikan puisi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Malam Puisi Riong BH dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Puisidra 2024, bertempat di Balai Seni Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP malam ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Mohd Zahari Ismail dan Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.

Selain itu, Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima, Jasbant Singh; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima, Farrah Naz Abd Karim dan Pengarang Eksekutif (Berita dan Digital) BH, Zainudin Mohd Isa.

Menyentuh mengenai puisi, Fadhlina berkata, ia usaha perlu diteruskan untuk mengembangkannya bagi memastikan generasi hari ini tahu akan kewujudannya.

Beliau yang menganggap puisi sebagai karya bangsa sebenarnya boleh dilaksanakan sebagai alat perpaduan, kekuatan bangsa dan juga perluasan bahasa.

Tidak terkecuali, katanya puisi juga terbentuk hasil daripada observasi sosial cendekiawan negara dalam isu kemasyarakatan.

“Barangkali cabaran kita juga adalah menghasilkan puisi yang benar-benar berkesan, berimpak dan diulang dalam sejarah serta dihayati dalam segenap lapisan masyarakat serta generasi.

“Saya ingat puisi-puisi yang diketengahkan oleh sasterawan negara sangat sukar untuk kita melupakan puisi ini, kerana ia mempunyai kesan semasa kemerdekaan yang menyentuh bangsa, perjuangan dan sebagainya.

“Jadi puisi ini saya fikir adalah cerita yang bergerak, sebuah pengalaman dan observasi sosial yang sangat penting daripada sasterawan-sasterawan negara. Ia sangat penting dan sangat tajam apabila mereka menulis puisi.

“Ia termasuk bagaimana mereka boleh menjadi cukup signifikan sebagai satu tanggapan bahawa mereka ini adalah cendekiawan yang memerhati dan juga meneliti isu-isu dalam masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top