Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tampil bersuara menepis tuduhan kononnya beliau berdiam diri dalam kes kemalangan tragis melibatkan kes Zara Qairina.
Tuduhan tak ambil tindakan dalam kes Zara Qairina satu fitnah
Menerusi hantaran yang dibuat di media sosial, beliau menegaskan bahawa dakwaan tersebut bukan sahaja tidak benar, malah disifatkan sebagai satu fitnah yang berat dan sedang berleluasa.
“Benarkah saya tidak berbuat apa-apa sehinggalah kes kemalangan anakanda Zara Qairina tular? Tidak benar.
Fitnah ini berat dan sedang berleluasa. Berhentilah menyebarkan fitnah tanpa usul periksa,” tulisnya.
#
Sentiasa ikuti perkembangan kes Zara Qairina
Fadhlina menjelaskan bahawa beliau telah menziarahi keluarga mangsa di hospital Kota Kinabalu pada 17 Julai 2025 dan mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah untuk segera menyalurkan bantuan kepada keluarga.
Sehari selepas itu, kenyataan rasmi dikeluarkan bagi menyatakan komitmen penuh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam membantu siasatan polis.
“Saya telah menziarahi keluarga di hospital di Kota Kinabalu pada 17 Julai 2025. Saya pastikan semua keperluan keluarga dipenuhi. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga diarah untuk menyalurkan bantuan segera,” ujarnya.
Kes Zara Qairina antara tumpuan utama di KPM
Dalam pada masa yang sama, Fadhlina turut memaklumkan bahawa memantau kes ini setiap hari dan menjadikan ia sebagai tumpuan utama KPM ketika ini.
Bantuan krisis dan intervensi trauma juga telah dilaksanakan kepada murid, guru serta warga sekolah.
“Saya teliti laporan harian dan memantau secara dekat kes ini serta memastikan JPN Sabah memberi bantuan terbaik kepada keluarga. Kes ini adalah tumpuan utama kami di Kementerian pada waktu ini,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga menyatakan pada 25 Julai lalu satu lagi kenyataan susulan dikeluarkan bagi menegaskan pendirian KPM untuk tidak melindungi mana-mana pihak jika wujud salah laku dalam insiden ini.
Beliau dengan tegas memberi kepercayaan penuh kepada siasatan pihak polis dan menyeru semua pihak menghormati proses tersebut serta tidak menyebarkan maklumat palsu.
“Saya nyatakan pendirian tegas Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat sebarang salah laku. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan pihak polis.”
“Saya meletakkan seluruh keyakinan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan yang profesional, telus, menyeluruh dan berintegriti. Maka, saya mohon semua pihak untuk menghormati proses siasatan yang sedang berjalan.”
“Dalam kita mengharapkan keadilan bagi kes ini, jangan pula menganiaya orang lain. Berhentilah menyebarkan berita yang tidak sahih,” ujarnya.
Artikel lain: Kes Zara Qairina: KPM tegaskan tiada siapa akan dilindungi, terlepas dari undang-undang
Tambah Fadhlina, penyebaran maklumat tidak tepat bukan sahaja menjejaskan proses siasatan, tetapi boleh menimbulkan kesan terhadap murid, guru dan warga sekolah yang tidak bersalah.
“Sedar atau tidak, berkongsi maklumat tidak sahih boleh menyebabkan murid, guru dan warga sekolah yang tidak bersalah turut terkesan,” tegas Fadhlina.
Oleh itu, beliau menyatakan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana penularan berita tidak sahih dan fitnah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidik.
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek