Fadhlina lawat sekolah di Banting susulan kes pelajar ditikam

Fadhlina lawat sekolah di Banting susulan kes pelajar ditikam

Shah Alam: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini melawat sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat, susulan kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga dipercayai ditikam oleh seorang lagi pelajar perempuan, pagi tadi.

Beliau yang tiba di sekolah berkenaan pada jam 1.20 tengah hari, mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan sekolah bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

Fadhlina berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil semua langkah keselamatan termasuk menahan suspek bagi membantu siasatan dan tumpuan kini adalah memastikan mangsa diberikan rawatan perubatan sewajarnya, selain memastikan sistem sokongan psikososial kepada warga sekolah.

“Semoga Tuan Pengetua, guru yang kami kasihi dan anak-anak pelajar semuanya diberikan kesabaran dan kekuatan menghadapi ujian ini dan saya mohon orang ramai tidak menyebarkan berita palsu atau merekayasa fitnah memandangkan kes ini sedang disiasat oleh pasukan PDRM,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terbabit dalam mengendalikan insiden itu dan akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut dari semasa ke semasa dengan kebenaran pihak berkuasa.

Sementara itu, Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, V Paparaidu menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri kerana memberikan sokongan psikososial serta kaunseling segera kepada mangsa, keluarga dan pelajar yang terkesan dengan kejadian ini.

“Dalam masa yang sama, saya menegaskan agar aspek keselamatan anak-anak di sekolah perlu diperketatkan. Pengawal keselamatan perlu sentiasa peka dan memantau setiap individu yang keluar masuk ke kawasan sekolah, terutama pada waktu ketibaan dan kepulangan pelajar.

“Kawalan di pintu masuk juga perlu diperkukuh bagi mengelakkan individu yang tidak sepatutnya memasuki kawasan sekolah. Keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita mesti sentiasa menjadi keutamaan. Sekolah seharusnya menjadi kawasan yang selamat, tempat anak-anak kita menimba ilmu tanpa rasa takut atau terancam,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.50 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan terdapat seorang pelajar perempuan cedera dalam kawasan sekolah.

Hasil siasatan mendapati pelajar perempuan tersebut telah ditikam menggunakan sebilah pisau oleh seorang pelajar perempuan lain dan mangsa kini sedang dirawat di Hospital Banting serta berada dalam keadaan stabil, sementara suspek berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.


Berita berkaitan

Kes tikam di sekolah: ‘Pasukan perubatan berusaha keluarkan darah pada paru-paru kiri anak saya’

Mangsa ditikam ketika waktu rehat di kantin sekolah

‘Anak saya bukan sasaran, dia cuma tak sempat lari’ – Bapa pelajar ditikam di sekolah

Suspek kes tikam di sekolah sudah ditahan

Mangsa berusia 15 tahun ditikam belasan kali di belakang badan, bahu

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top