am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang menjahit dan menjual pakaian seragam sekolah secara ansuran bagi meringankan beban ibu bapa mendapat sokongan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, usaha NADI menggerakkan komuniti menerusi pembuatan baju seragam sekolah sebagai satu inisiatif yang sangat penting dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Katanya, isu pakaian seragam sekolah sememangnya antara perkara yang sering dibangkitkan ibu bapa, khususnya ketika persiapan anak-anak untuk memasuki sesi persekolahan.
“Sebagai Ahli Parlimen, ini (pakaian seragam sekolah) antara perkara yang sentiasa (difikirkan bila) nak masuk sekolah, itulah menjadi sebahagian daripada permintaan ibu bapa terkait dengan pakaian seragam ini.
“Tapi (inisiatif) NADI menggunakan konsep bayar secara ansuran sedikit sebanyak memberikan keringanan kepada ibu bapa,” katanya kepada pemberita selepas menyempurkan Program MADANI Kita (PMK) di luar perkarangan sebuah pasar raya di Simpang Ampat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Bukhari Yahya.
Katanya, inisiatif berkenaan antara program yang sangat baik untuk rakyat dan menyatakan hasrat untuk memberikan komitmen terhadap projek itu, khususnya bagi persiapan persekolahan tahun hadapan.
Beliau turut berharap program NADI terus berperanan sebagai jambatan antara rakyat dengan kerajaan dalam menyampaikan aspirasi kerajaan serta memastikan pembabitan keseluruhan rakyat.
Untuk rekod, inisiatif pakaian seragam sekolah itu dijahit oleh 120 alumni NADI Mahir yang sebelum ini mengikuti kursus kemahiran menerusi Perkhidmatan Pintar NADI, sebelum melangkah ke hadapan sebagai usahawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




