Fadilat menjamu orang berbuka puasa

عَنْ زَيْدِ بْنِ خَالِدٍ الْجُهَنِيِّ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم :‏ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

“Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan pahalanya sedikit pun.””

(Sunan al-Tirmizi, no.807)

Advertisement

Pengajaran Hadis:

1. Hadis ini menggalakkan kita memberi makan kepada orang puasa dengan mendapat ganjaran pahala seperti orang yang berpuasa itu.

2. Memberikan makanan kepada orang yang berbuka puasa sama ada dengan sebiji tamar, segelas air, dan sebagainya maka sudah terhasil baginya pahala memberi makan kepada orang yang berbuka sebagaimana zahir Hadis.

3. Namun, menurut Imam Ibn Muflih ketika mensyarahkan Hadis di atas, katanya: 

“Yang zahir dari pendapat para ulamak adalah apa sahaja makanan sebagaimana zahir khabar (Hadis) tersebut.

Manakala pahala yang lebih besar sekiranya makanan tersebut memberi kekenyangan kepada orang yang berbuka’’. 

(Rujuk Al-Furu’, Ibn Muflih (3/73))

4. Ini bermakna, kita dianjurkan memberi sesuatu mengikut kemampuan masing-masing. Dalam Hadis lain Rasulullah S.A.W bersabda:

اتَّقُوْا النَّارَ وَلَوْ بِشِقٍّ تَمْرَةٍ

“Takutlah kamu dari seksaan api neraka walaupun dengan bersedekah separuh buah tamar.” 

(Sahih al-Bukhari dan Muslim)

5. Manakala memberi makan sehingga kenyang itu afdal berdasarkan Hadis:

وَمَنْ أَشْبَعَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ

“Dan sesiapa yang memberi kekenyangan kepada orang yang berpuasa maka dia akan mendapat keampunan atas dosa-dosanya,”

(Riwayat Ibn Khuzaimah, no.1878)

YB AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 19/4/2021