NABI SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikan solat (malam) di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis tersebut menjadi asas utama kelebihan qiyam Ramadan termasuk tarawih. Pengampunan dosa merupakan anugerah agung yang sukar ditandingi oleh ibadah lain.
Konsep ihtisab yang disebut ulama merujuk niat tulus semata-mata kerana Allah SWT. Tarawih yang dilakukan tanpa riyak dan tanpa keluh kesah menjadi sebab keampunan. Peluang tersebut tidak wajar dipandang ringan, apatah lagi tempoh Ramadan amat singkat.
Solat tarawih juga mengukuhkan semangat berjemaah. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berdiri (bersolat) bersama imam sehingga imam selesai, dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”. (Riwayat al-Tirmizi)
Ganjaran qiyam sepanjang malam dikaitkan secara jelas melalui kebersamaan bersama imam sehingga selesai, termasuk witir. Kesempurnaan pahala terikat pada kesempurnaan penyertaan. Tindakan meninggalkan saf sebelum imam menamatkan solat menyebabkan kehilangan kelebihan besar yang dijanjikan.
Semangat awal Ramadan sering membara melalui saf masjid kelihatan penuh pada malam awal. Cabaran sebenar muncul apabila keletihan dan kesibukan mula menguji ketahanan diri. Nilai sebenar solat tarawih terletak pada istiqamah dari awal hingga akhir Ramadan.
Istiqamah pula membentuk disiplin rohani yang konsisten. Kehadiran berterusan ke masjid melatih pengorbanan masa dan tenaga. Solat tarawih menjadi cerminan tahap komitmen terhadap ibadah malam yang sering diabaikan pada bulan-bulan lain.
Ramadan bukan sekadar bulan ibadah biasa, bahkan bulan yang mengandungi satu malam lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan”. (Surah al-Qadr: 3)
Solat tarawih berfungsi sebagai latihan berperingkat bagi mempersiapkan jiwa menghadapi malam agung tersebut. Qiyam yang dilakukan setiap malam membina stamina rohani agar tidak culas ketika 10 malam terakhir.
Jiwa yang telah dibiasakan berdiri lama dan mendengar ayat suci lebih mudah khusyuk ketika memburu Lailatul Qadar.
Amalan konsisten sepanjang Ramadan meningkatkan kepekaan spiritual. Kesediaan tersebut menjadikan peluang memperoleh keberkatan Lailatul Qadar lebih terbuka luas.
Demikianlah, Ramadan bukan sekadar perubahan jadual makan dan tidur, bahkan medan pembinaan jiwa. Solat tarawih menjadi nadi yang menghidupkan malam serta mengangkat darjat takwa.
Kesungguhan merebut peluang ini bakal menentukan kualiti hubungan seorang hamba terhadap Pencipta. Keazaman mengimarahkan solat tarawih secara konsisten diharap melahirkan generasi yang lebih berdisiplin, bersatu dan dekat kepada Allah SWT.
Ramadan akan berlalu, namun kesan pendidikan melalui solat tarawih sepatutnya terus kekal membentuk akhlak dan keperibadian sepanjang tahun. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. AZRI BHARI & DR. NIK AIRIN AQMAR NIK AZHAR
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Kolej Islam Antarabangsa (IIC)




