razis@hmetro.com.my
Ramai yang menyangka kerja ukur tanah hanya membabitkan kerja-kerja menentukan sempadan lot, namun hakikatnya skop tugas juruukur tanah jauh lebih luas, teknikal dan berperanan besar dalam memastikan kesejahteraan sosial serta kelancaran pembangunan fizikal negara.
Pengurus Projek UkurXBina Wan Abdul Hakim Wan Ghazali berkata, juruukur tanah memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek kehidupan seharian, khususnya berkaitan hak milik, pewarisan dan pembangunan.
“Ramai orang fikir kerja juruukur cuma ukur tanah untuk pecah lot sedangkan skop sebenar jauh lebih luas dan teknikal.
“Juruukur turut menguruskan pelbagai jenis ukuran termasuk topografi, pemetaan, ukur utiliti bawah tanah (underground Utility Detection Survey), ukur sungai dan tasik (hidrografi), ukur kejuruteraan dan lain-lain lagi,” katanya.
Selain itu, Juruukur Tanah Berlesen turut melakukan kerja ukur kadaster merangkumi satu bentuk ukur tanah rasmi yang mempunyai nilai undang-undang dan menentukan sempadan sebenar sesuatu hak milik tanah.
“Hasil ukur kadaster inilah yang digunakan untuk keluarkan geran, ubah geran, pecah tanah atau selesaikan pertikaian sempadan. Sekiranya batu sempadan hilang, ukur kadaster diperlukan untuk mengesahkan semula kedudukan asal berdasarkan rekod Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).” katanya.
Menurutnya, kerja ukur bukan sekadar berkaitan teknikal, malah memainkan peranan penting dalam menyelesaikan pertikaian keluarga dan komuniti berkaitan sempadan serta hak milik.
“Saya pernah lihat sendiri, apabila ayah meninggal, anak-anak mula bergaduh sebab rumah yang dibina rupanya masuk ke tanah waris lain.
“Ketika hidup semua ikut cakap mulut, ‘tok ayah kata sempadan kat pokok tu,’ tetapi apabila buka pelan akui, langsung tak padan,” katanya.
Tambahnya, kesilapan tidak melakukan ukuran rasmi boleh membawa pelbagai masalah seperti rumah dibina atas tanah orang, waris rasa dibuli, urusan jual beli terganggu malah kes masuk ke mahkamah.
“Waktu terbaik untuk mengukur tanah adalah sebelum berlaku sebarang urus niaga, pembinaan, pembahagian pusaka atau pertikaian sempadan, bukan selepas masalah timbul.
“Saya selalu nasihat pelanggan, ukur dulu sebelum jual, sebelum bina, sebelum bahagi. Jangan tunggu sudah bergaduh baru panggil kami,” katanya.
Katanya, kesilapan paling biasa yang dilakukan adalah terlalu percaya pada anggaran sempadan berdasarkan pokok, parit atau cerita lisan tanpa pengesahan pelan rasmi.
“Paling parah apabila membina rumah tanpa membuat ukuran sempadan. Masalah timbul selepas kediaman siap, tahu-tahu kena saman sebab ceroboh tanah jiran.
“Ada juga kes tanah dijual tapi luas sebenar tak mencukupi selepas ukuran semula dilakukan sehingga pembelian dibatalkan,” katanya.
Mengimbas pengalamannya selama 10 tahun dalam bidang itu, dia berkongsi beberapa kes menarik termasuk menemui semula batu sempadan lama yang tertimbus di hutan serta membantu menyelesaikan pertikaian jiran yang membina rumah melangkaui sempadan.
“Saya juga pernah urus kes pusaka yang tidak diurus puluhan tahun dan apabila disemak semula, nama dalam geran dah cecah 30 orang.
“Salah seorang daripada mereka bina rumah tanpa minta izin penama yang lain. Akhirnya semua bergaduh dan tuntut rumah dirobohkan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kesilapan ukuran boleh memberi kesan besar seperti pelan ditolak pejabat tanah, projek terbengkalai, kerugian kos dan pertikaian mahkamah.
“Dalam hal ini, juruukur perlu bekerja dengan penuh tanggungjawab dan ketepatan.
“Kami bukan sekadar pegang tripod dan ukur tanah. Kami bawa harapan orang iaitu waris, pembeli, pemaju, kontraktor. Sekiranya salah, semua boleh runtuh termasuk hubungan kekeluargaan,” jelasnya.
Dia turut melahirkan harapan supaya lebih ramai pemilik tanah sedar pentingnya pengukuran rasmi dan tidak bergantung kepada andaian semata-mata.
“Ukuran tanah bukan beban, tapi pelaburan jangka panjang. Ia boleh selamatkan masa depan keluarga dan elakkan pergaduhan,” katanya yang aktif berkongsi pelbagai ilmu berkaitan sempadan, pusaka, jual beli dan bina rumah di TikTok ‘UkurXBina.’
© New Straits Times Press (M) Bhd