Fahami maksud sebenar syahadah

TAUHID bukanlah semata-mata menyebut kalimah syahadah. Terdapat perbezaan antara orang yang menyebut kalimah syahadah dengan ahli syahadah yang sebenar.

Kalau kita hanya menyebut kalimah syahadah sedangkan hati kita penuh dengan kebergantungan kepada makhluk, maka kita ini hanyalah pelafaz kalimah syahadah sahaja.

Advertisement

Maksud tauhid yang sebenar-benarnya ialah kita menjadi ahli syahadah itu sendiri. Kita tidak melihat adanya pemberi manfaat atau pemberi mudarat, penggerak dan pentadbir alam ini melainkan Allah S.W.T. Hanya sanya Allah S.W.T Yang Maha Agung mentadbir alam ini mengikut ketentuan-Nya dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan terjadi.

Hal ini disebut di mana Nabi S.A.W melarang kita merungut dan menyalahi takdir yang ditetapkan Allah S.W.T. Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Nabi S.A.W:

وَإِنْ أَصَابَكَ شَىْءٌ فَلاَ تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ

“Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, janganlah kamu mengatakan, ‘kalaulah aku melakukan itu dan ini.’ Akan tetapi katakanlah, ‘takdir (ketentuan) Allah, dan apa yang dikehendakinya pasti akan terjadi.’”

(Riwayat Muslim (2664))

Apabila kita boleh menerima bahawa segala yang terjadi ini merupakan ketentuan Allah S.W.T, barulah kita ini boleh digelar sebagai ahli syahadah dan bukannya sekadar penyebut kalimah syahadah.

Kebahagiaan juga boleh dikecapi kerana kita redha atas sesuatu yang menimpa kita dan mengetahui bahawa Allah S.W.T akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 22/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100050311487174/posts/450064410013938/