Fahami sejarah, budaya perkukuh hubungan Malaysia-Arab Saudi

Fahami sejarah, budaya perkukuh hubungan Malaysia-Arab Saudi

bhrencana@bh.com.my

Dir’iyyah, sebuah bandar tua yang jauhnya hanya setengah jam dengan kereta dari Riyadh adalah tempat yang sunyi. Namun, bentuk seni binanya yang unik cukup mengagumkan .

Bangunan yang 300 tahun dahulu adalah pusat pentadbiran kerajaan sudah disenaraikan UNESCO sebagai warisan kebudayaan dunia, hanya dibina dengan lumpur yang dicampur jerami dan kemudian dipanaskan.

Tahun mendatang, Dir’iyyah akan lebih dikenali dunia luar kerana kerajaan Arab Saudi melancarkan Wawasan 2030 untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi negara itu dengan minyak.

Pelancongan akan dijadikan sektor penting dalam proses diversifikasi itu dan Arab Saudi mahu belajar daripada Malaysia yang berjaya mempromosikan pelancongan.

Dir’iyyah akan menjadi destinasi pelancongan popular bukan hanya kerana seni binanya unik dan lokasinya di pinggir Rub al-Khali yang dikenali pengembara Barat sebagai ‘The Empty Quarter’.

Sebaliknya, ia tempat bermulanya kerajaan Arab Saudi hari ini. Bagi yang ingin mengetahui sejarah kerajaan Arab Saudi, mengenali Dir’iyyah satu kemestian.

Justeru, boleh difahami mengapa Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyatakan hasrat melawat Dir’iyyah semasa mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke negara itu baru-baru ini.

Malaysia perlu memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara pengeluar minyak terbesar dunia. Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang tercalar di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu diperbaiki.

Memahami sejarah dan kebudayaan Arab Saudi akan membuka jalan ke arah hubungan diplomatik lebih kukuh. Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putra Mahkota Muhammad Bin Salman, amat gembira dengan lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mac lalu.

Namun, tindakan susulan perlu diambil supaya kejayaan lawatan diterjemahkan kepada perdagangan dan pelaburan yang meningkat.

Maka, Mohamed Azmin menyusul ke negara teluk itu dengan misi perdagangan dan pelaburan. Matlamat misi tercapai, namun hubungan ekonomi lebih mampan memerlukan tindakan kreatif bagi mewujudkan kefahaman kepada dua negara yang mempunyai sistem politik dan sosial berbeza, serta keperluan apresiasi terhadap aspek sosial dan kerohanian yang berakar kepada sejarah dan tradisi tempatan.

Lawatan ke Dir’iyyah tidak mempunyai aspek ekonomi secara langsung, tetapi mempunyai makna mendalam dan halus dalam dimensi politik dan kebudayaan.

Pembaca karya klasik Muhammad Asad, The Road to Mecca, boleh memahami ini. Dalam tahun 1927, Raja Abdul Aziz Ibn Saud mempelawa Asad melawat Riyadh dan menetap di ibu negara yang beliau baru satukan untuk beberapa bulan.

Asad, sebelumnya seorang Yahudi kelahiran Ukraine dengan nama, Leopold Weiss, ketika itu baru memeluk Islam. Ibn Saud menyediakan kereta untuk membawa Asad dari Makkah ke Riyadh.

Asad amat menghargai pelawaan kerana dia sangat ingin melihat kehidupan badui Najd dan ketika itu, orang asing dilarang memasuki Najd. Tetapi, dia menolaknya dengan menjawab:” Apa yang saya dapat lihat kalau menaiki kereta lima atau enam hari merentasi padang pasir Najd. Kalau diizinkan, unta memadai untuk saya.”

Ibn Saud ketawa: “Rupanya kamu teruja untuk merenung mata rakyatku orang badui. Perlu saya ingatkan, mereka masyarakat mundur dan Najdku adalah padang pasir tanpa keindahan dan menunggang unta meletihkan. Tetapi kalau hatimu cekal, kamu boleh menunggang unta. Mungkin kamu tidak akan menyesal mengenali rakyatku. Mereka miskin, mereka tidak tahu apa-apa dan tidak punya apa-apa, tetapi hati mereka penuh dengan kebaikan.”

Bersama pemandunya Zayd, Asad menunggang unta dua bulan untuk sampai ke Riyadh. Lawatan beberapa bulan jadi bertahun dan Asad memasuki pelbagai perkampungan serta menjalin persahabatan dengan pelbagai suku Arab.

Sudah tentu Asad sampai ke Dir’iyyah. Penerokaan Asad ke dalam sistem sosial dan kebudayaan Najd dan lain-lain wilayah Arab Saudi, memudahkan beliau bersahabat dengan Ibn Saud dan Putra Faisal yang kemudiannya menjadi Raja Arab Saudi.

Selepas penemuan minyak, penduduk Najd tidak lagi miskin. Dengan kekayaan itu, Arab Saudi menjalani perubahan besar. Namun akar sosial, kebudayaan dan kerohanian tetap segar hingga hari ini. Dir’iyyah saksi kesinambungan itu.

Pada 1 Mei lalu, kami dijadualkan melawat Dir’iyyah selepas temu janji Azmin dengan Khalid al- Falih, Menteri Pelaburan Arab Saudi di Riyadh.

Khalid orang kanan Kabinet kerajaan Arab Saudi. Sebelum dalam kementerian sekarang, dia pernah menjawat kedudukan Menteri Tenaga dan sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aramco.

Kami sampai di Dir’iyyah tepat waktu iftar. Selepas iftar sebentar kami ke Masjid Muhammad Ibn Saud untuk solat Maghrib.

Antara tempat iftar dengan Masjid Ibn Saud, kelihatan runtuhan kota lama dengan lorong yang memisahkan antara bangunan. Meskipun kompleks Dir’iyyah dibangun semula untuk menjadi muzium, beberapa kesan kehancuran akibat bedilan meriam Uthmaniah dikekalkan.

Selepas makan malam, kami dibawa ke panggung terbuka berdepan kompleks peninggalan kerajaan pertama dinasti Saudi.

Sebentar kemudian, sejarah kerajaan Arab Saudi hidup dalam ‘light and sound show’. Kita mengetahui Muhammad Bin Saud membentuk Amirah Dir’iyyah pada 1744.

Meskipun tidak disebut dalam naratif ‘light and sound’, terbentuknya kerajaan itu adalah hasil pakatan antara Muhammad Bin Saud dengan gerakan pembaharuan Muhammad Abdul Wahab.

Ketika negara Islam mendapat ancaman luar dari Eropah, Dir’iyyah diancam kerajaan Uthmaniah. Dir’iyyah dibedil meriam dan kerajaan pertama Saudi tumbang dalam 1811 dan pemerintahnya ketika itu dihukum mati di Istanbul.

Dalam 1824, cucu kepada pemerintah Saudi pertama berjaya mengusir tentera Uthmaniah dari Riyadh dan membentuk kerajaan Saudi Kedua. Namun, keturunan Saud dengan pengikut Muhammad Ibn Abdul Wahab membentuk Amirah Najd atau kerajaan Saudi kedua. Namun dalam 1891, kerajaan ini ditewaskan Ibn al-Rashid dalam perang Mulayda.

Seluruh keluarga Saud termasuk pemerintahnya Abdul Rahman Ibn Saud melarikan diri ke Kuwait. Tetapi putera Abdul Rahman, Abdul Aziz, tidak mahu hidup dalam buangan dan mahu menghidupkan kembali kegemilangan keluarganya.

Beliau menawan kembali Riyadh dalam 1902 dan memulakan siri penaklukan. Abdul Aziz Ibn Saud mengukuhkan kedudukannya di Najd (1922) dan menakluki Hijaz (1925) yang mengandungi Makkah, Madinah dan Jeddah.

Dalam 1932, beliau membentuk kerajaan Arab Saudi yang kita kenal hari ini, iaitu kerajaan Saudi ketiga.

Justeru, kerana kota suci Makkah dan Madinah berada dalam Arab Saudi, hubungan kita dengan Arab Saudi akan berterusan. Namun hubungan diplomasi antara dunia dalam geopolitik mempunyai seni dan strategi tersendiri.

Kefahaman dan apresiasi terhadap sejarah aset amat berharga.

Penulis adalah Penasihat kepada Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top