Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini memberi jaminan tiada pekerja Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan diberhentikan walaupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu akan mula mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan mereka.
Menurutnya, walaupun Pos Malaysia disarankan untuk mencari solusi terbaik untuk memastikan kemajuan dalam perkhidmatan mereka, namun tiada sesiapa daripada 18,000 pekerja syarikat itu perlu menerima nasib pemberhentian kerja.
“Hari ini, AI perlu dimanfaatkan Pos Malaysia untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul bukan sekadar menangani komen-komen di media sosial tetapi perkara-perkara yang perlu dilaksanakan.
“Seperti mana kaedah sama digunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang kini menggunakan AI untuk menyelesaikan isu aduan gangguan rangkaian.
“Namun begitu, posmen-posmen tidak perlu risau apabila Pos Malaysia menggunakan AI dalam perkhidmatan dan AI tidak akan menggantikan kerja anda untuk penghantaran.
“Penggunaan robot dan dron juga masih terlalu mahal untuk kita. Jadi jangan risau (diganti dan diberhentikan kerja).
“Pos Malaysia mempunyai kira-kira 18,000 pekerja, namun saya tidak mahu satu pun daripada mereka yang akan kehilangan kerja dan inilah komitmen kita untuk terus menyampaikan maklumat dan berintegrasi dengan teknologi yang ada,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Pos Sedunia di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Pengerusi Pos Malaysia Tan Sri Syed Faisal Albar, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Charles Brewer.
Dalam perkembangan sama ketika ditanya pemberita, Fahmi menjelaskan, penggunaan AI tidak akan menggantikan pekerjaan manusia di Pos Malaysia sebaliknya ia bertujuan untuk memantapkan penggunaan tenaga kerja.
“Ia untuk menjadikan pekerjaan yang dilakukan itu lebih efisien dan pada masa yang sama meningkatkan mutu perkhidmatan. Jadi saya tidak lihat ada keperluan untuk membuang pekerja apabila Pos Malaysia memanfaatkan AI.
“Teknologi boleh disesuaikan tindakan seperti menganalisa data dan AI mampu membuat beberapa perkara khususnya dalam beberapa aspek pengurusan tetapi bukan dalam perkara berkaitan logistik. Kita tidak menjangkakan pekerjaan akan hilang, tapi mungkin skop pekerjaan akan berubah,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, Akta Perkhidmatan Pos 2012 ( Akta 741) sedang dalam perancangan untuk dipinda dengan pihak perunding sudah dilantik untuk memulakan tindakan seterusnya.
Katanya, pindaan itu perlu dilakukan kerana banyak perkara sudah berubah sejak 2012 dan mungkin akan berubah dalam tempoh 10 tahun mendatang ini.
“MCMC sudah melantik satu badan penasihat ataupun satu penasihat merunding dan meneliti kewajaran untuk kerajaan meminda Akta Perkhidmatan POS 2012 sesuai dengan perubahan semasa.
“Ia masih lagi di peringkat awal namun kita jangkakan ia akan mengambil masa lebih kurang lapan ke 12 bulan untuk laporan itu disiapkan dan paling awal jika pindaan berlaku adalah pada 2026,” katanya.
Menyentuh mengenai penggunaan kenderaan elektrik seperti yang sudah dilakukan Pos Malaysia demi kelestarian alam, Fahmi berkata, beliau bersedia untuk bertemu dengan syarikat-syarikat penghantaran dan kurier lain untuk mereka terbabit dalam komitmen berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd