nurhanim.osman@bh.com.my
Kuala Lumpur : Serangan dan kritikan terhadap beberapa individu lantikan baharu Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berpunca daripada kekeliruan mengenai struktur pentadbiran kerajaan sedia ada, selain dipengaruhi faktor politik.
Sehubungan itu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil tampil memberikan penjelasan bagi meredakan salah faham yang timbul dalam kalangan masyarakat.
Tiga lantikan baharu yang menjadi tumpuan kritikan ialah pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim.
Menurut Fahmi, kritikan khususnya terhadap pelantikan Hannah Yeoh dan Datuk Lo Su Fui sebagai timbalannya berpunca daripada salah faham mengenai peranan dan kedudukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Bagi pelantikan Hannah Yeoh, beliau menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri di JPM yang menguruskan portfolio Wilayah Persekutuan, dia bukan Kementerian Wilayah Persekutuan seperti sebelum ini.
“Maka, menteri di JPM, ketuanya ialah Perdana Menteri. Jadi, sebarang tindakan dan keputusan berkaitan portfolio itu akan dirujuk kepada Perdana Menteri.
“Dan kebiasaannya pasca kabinet, mesyuarat itu akan disertai oleh semua menteri di JPM seperti kelaziman,” katanya.
Menurut beliau, dari sudut pengurusan, tidak timbul sebarang isu kerana Perdana Menteri sentiasa memantau pelaksanaan tugas menteri-menteri berkenaan dan akan menyampaikan nasihat atau arahan sekiranya perlu.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di Auditorium Seri Angkasa, Kompleks Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi menulis di Facebooknya bahawa sentimen rakyat yang berlegar di media sosial susulan rombakan Kabinet tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara berhemah.
Beliau berkata, antara sentimen yang dibangkitkan termasuk persoalan mengenai pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dalam kalangan kaum Cina.
Fahmi berkata, Yeoh memaklumkan bahawa Asyraf Wajdi ada menghubungi beliau susulan beberapa kenyataan yang dimuat naik di media sosial disalah tafsir oleh sebuah portal berita dalam talian.
“Salah tafsir terhadap kenyataan berkenaan dilihat cuba mengadu domba, selain kemungkinan berpunca daripada interpretasi pihak tertentu terhadap laporan media berkenaan,” katanya.
Mengulas kritikan terhadap Adam Adli berkaitan isu pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Fahmi berkata, amalan mengungkit kenyataan lama ahli politik adalah perkara biasa dalam arena politik.
“Perdana Menteri sendiri sering diingatkan tentang janji lama seperti isu harga minyak.
“Begitu juga tokoh lain termasuk Muhyiddin Yassin yang sering diingatkan tentang kenyataan beliau bahawa PAS sebagai parti ajaran sesat,” katanya.
Justeru, beliau berkata, Adam Adli kini mempunyai ruang lebih luas sebagai timbalan untuk menilai dan melaksanakan idea yang pernah diketengahkan sebelum ini, tertakluk kepada kemampuan kewangan dan pelaksanaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



