Busan: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa organisasi media yang menghadapi isu tunggakan gaji petugas supaya segera menyelesaikan bayaran terbabit.
Beliau menyifatkan tindakan tidak membayar gaji pengamal media selama beberapa bulan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Saya berpendapat, ini tidak sepatutnya berlaku, organisasi media tersebut wajib melunaskan tunggakan gaji kepada para pekerja,” katanya ditemui, di sini, hari ini.
Fahmi kini dalam lawatan kerja ke Korea Selatan selama tiga hari bermula 30 September.
Katanya, beliau juga bersedia menjadi perantara bagi pihak pengamal media dan majikan masing-masing untuk mencari penyelesaian terbaik dalam isu terbabit.
Sebelum ini, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menggesa pihak majikan yang mewakili pengamal media ‘The Malaysian Insight’ dan ‘The Vibes’ untuk segera melangsaikan tunggakan gaji yang tidak dibayar selama beberapa bulan.
Menurut mereka, perkara ini jelas adalah satu bentuk penindasan yang mencerminkan kelemahan pengurusan di pihak majikan itu sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd