Dakwaan Malaysia merancang mengambil sehingga 200,000 pekerja dari Bangladesh tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi kerajaan negara itu, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Foto: The Star
Memetik laporan Berita Harian, menurut Fahmi, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berhubung kenyataan berkenaan dan dimaklumkan ia dibuat oleh seorang menteri muda Bangladesh.
Justeru, beliau berkata kenyataan tersebut tidak wajar ditafsirkan sebagai keputusan atau pengumuman rasmi kerajaan Bangladesh.
“Saya ada berhubung dengan Menteri Sumber Manusia mengenai perkara terbabit dan beliau memaklumkan bahawa itu bukan kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan Bangladesh.
“Ia (kenyataan) dikeluarkan oleh seorang, saya difahamkan seorang junior minister (menteri muda), jadi bukan mewakili keputusan rasmi pihak kerajaan Bangladesh,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Foto: The Business Standard
Sebelum ini, menteri berkenaan dilaporkan mendakwa Malaysia akan mengambil 200,000 pekerja Bangladesh. Menurut laporan itu, pengambilan tersebut akan dibuat menerusi syarikat yang mendapat kelulusan pihak berkuasa Malaysia.
Proses berkenaan juga dikatakan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula akhir September dan dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk diselesaikan.
Artikel lain: JPN sahkan MyKad anak warga Bangladesh diperoleh secara sah ikut undang-undang
Dalam perkembangan berkaitan, pada Jun lalu, Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya mempertimbangkan pembukaan semula pasaran buruh Malaysia kepada pekerja dari Bangladesh.
Malaysia sebelum ini mengehadkan pengambilan pekerja Bangladesh pada 2024 berikutan laporan berkaitan eksploitasi pekerja, termasuk isu jeratan hutang, buruh paksa serta kemasukan pekerja ke negara ini tanpa pekerjaan seperti yang dijanjikan.
Sumber: Berita Harian (Mohd Iskandar Ibrahim)
