Fahmi Reza dibebas dengan jaminan polis, telefon dirampas

Fahmi Reza dibebas dengan jaminan polis, telefon dirampas

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Aktivis kontroversi dan pereka grafik, Fahmi Reza dibebaskan dengan jaminan polis petang ini selepas beberapa jam ditahan dan disoal siasat di Bukit Aman berhubung dakwaan hantaran Facebook yang didakwa menghina Pemangku Sultan Johor.

Peguamnya, Yohendra Nadarajan mengesahkan pembebasan itu namun memaklumkan telefon bimbit Fahmi masih ditahan polis bagi membantu siasatan.

“Fahmi sudah dibebaskan dengan jaminan polis, tetapi telefon bimbitnya masih bersama polis sementara siasatan diteruskan,” katanya.

Fahmi hadir ke Bukit Aman pagi hari ini bersama pasukan peguamnya selepas menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah, sebelum ditahan pada jam 10.20 pagi.

Keterangannya dirakam oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Sementara itu, polis mengesahkan aktivis kontroversi dan pereka grafik, Fahmi Reza dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya dirakam hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, polis turut merampas telefon bimbitnya bagi membantu siasatan.

“Kita juga akan mendapat maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu siasatan

“Siasatan masih berjalan dan selepas dilengkapkan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro malam ini.

Siasatan dijalankan susulan satu hantaran Facebook pada 15 Disember lalu yang didakwa menghina Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Harian Metro hari ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan terhadap aktivis kontroversi, Fahmi Reza sedang dilaksana berhubung hantaran didakwa menghina Pemangku Sultan Johor di Facebook miliknya termasuk 284 laporan polis diterima dari seluruh negara berkaitan isu sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top