am@hmetro.com.my
Kudat: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengadakan lawatan ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Pulau Banggi, di sini, semalam, bagi meninjau status kemajuan pusat digital itu serta berinteraksi bersama komuniti setempat termasuk ahli Komuniti MADANI.
Lawatan kerja ke kawasan luar bandar Sabah itu turut memberi peluang kepada beliau memantau keterhubungan telekomunikasi di daerah Kudat, yang kini menunjukkan perkembangan positif hasil usaha berterusan kerajaan.
NADI Pulau Banggi yang beroperasi di bawah inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berperanan sebagai pusat komuniti digital sehenti, menyediakan akses Internet, latihan kemahiran digital dan perkhidmatan maklumat kepada penduduk tempatan.
Fahmi berkata, usaha memperluas capaian digital di kawasan pedalaman seperti Pulau Banggi membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan sosioekonomi rakyat.
“Antara kemudahan yang disediakan ialah teknologi Starlink dengan kelajuan Internet melebihi 100Mbps, ruang latihan serta perkhidmatan rujukan maklumat yang menyokong pembangunan ekonomi, pendidikan dan keusahawanan digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih membanggakan, inisiatif NADI Pulau Banggi sebahagian daripada Projek Inklusif Digital NADI Malaysia yang diumumkan sebagai juara Anugerah Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Teknologi Bermaklumat (WSIS) 2025 bagi kategori C4: Capacity Building oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bersama agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurutnya, pengiktirafan antarabangsa itu membuktikan Malaysia berada di landasan tepat dalam memastikan tiada komuniti terpinggir daripada arus pendigitalan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




