am@hmetro.com.my
Georgetown: EXCO Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol yang berdepan pertuduhan mencederakan isteri buat masa ini akan terus menjalankan tugasnya seperti biasa.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow menepis spekulasi pihaknya menerima tekanan atau desakan mana-mana pihak supaya ADUN Pantai Jerejak itu bercuti atau meletakkan jawatan mengikut portfolio disandangnya.
“Ya (akan jalankan tugas seperti biasa). Kami hanya dimaklumkan (mengenai pertuduhan) petang ini. Jadi, biarlah mahkamah yang membuat keputusan. Kita tidak boleh bertindak mendahului mahkamah.
“Beliau tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Maksud saya, beliau dianggap tidak bersalah sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Prangin Mall di sini, hari ini.
Chow berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Fahmi perlu meletakkan jawatan atau bercuti daripada tugas rasmi berikutan kes itu namun tidak menolak perkara tersebut boleh dibincangkan dalam mesyuarat EXCO akab datang.
“Ya boleh. Kita boleh bincang dalam mesyuarat EXCO minggu depan,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Fahmi mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini atas tuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya pada Ahad lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




