Washington: Bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton dan isterinya, Hillary akan memberi keterangan di Kongres, mengenai pesalah seks Jeffrey Epstein pada akhir bulan ini, kata seorang ahli parlimen Republikan pada Selasa.
Clinton akan hadir pada 27 Februari, dan Hillary akan berbuat demikian sehari sebelumnya, kata pengerusi Jawatankuasa Pemantau Dewan.
James Comer berkata, pasangan yang juga ahli Parti Demokrat itu akan berbuat demikian selepas panel Dewan mengesyorkan pertuduhan penghinaan, “dan akan hadir untuk keterangan yang direkodkan dan dirakam bulan ini.”
Kedua-duanya diperintahkan untuk memberikan keterangan secara tertutup di hadapan Jawatankuasa Pengawasan Dewan, yang sedang menyiasat hubungan Epstein dengan tokoh-tokoh berpengaruh dan bagaimana maklumat tentang jenayahnya dikendalikan.
Dalam surat penolakan, pasangan itu berhujah bahawa sapina itu tidak sah kerana ia tidak mempunyai tujuan perundangan yang jelas.
Demokrat mengatakan siasatan itu dijadikan senjata untuk menyerang lawan politik Presiden Donald Trump.
Jabatan Kehakiman minggu lalu mengeluarkan ‘cache’ terkini fail yang dipanggil Epstein – lebih daripada tiga juta dokumen, foto dan video yang berkaitan dengan siasatannya terhadap Epstein. Lelaki itu meninggal dunia akibat bunuh diri semasa dalam tahanan, pada 2019.
Clinton kerap muncul dalam fail berkenaan, tetapi tiada bukti yang mendedahkan pembabitannya dengan aktiviti jenayah. Bekas presiden itu mengaku menaiki pesawat Epstein pada awal 2000-an untuk kerja kemanusiaan berkaitan Yayasan Clinton, tetapi berkata, beliau tidak pernah melawat pulau persendirian Epstein.
Hillary pula berkata, beliau tidak pernah menaiki pesawat Epstein, dan tidak pernah melawat pulau milik lelaki berkenaan.
Clinton adalah presiden dua penggal pada 1990-an, manakala Hillary berkhidmat sebagai Setiausaha Negara selama empat tahun di bawah Presiden Barack Obama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




