Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan, namun menegaskan bahawa isu tersebut bukan berkaitan kekebalan peribadi.
Sebaliknya, kata Anwar, permohonan yang difailkan dibuat bagi mempertahankan prinsip tadbir urus, sistem perlembagaan serta memastikan perlindungan institusi awam daripada litigasi yang mungkin bermotifkan politik atau mengganggu kestabilan pentadbiran negara.
“Perkara ini sama sekali bukan bertujuan untuk mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada penelitian undang-undang,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau hari ini.
Anwar hormat keputusan mahkamah
Menurutnya, permohonan tersebut dibuat berdasarkan Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan persoalan mengenai pelaksanaan atau tafsiran undang-undang tertinggi negara dirujuk terus ke Mahkamah Persekutuan.
Artikel lain: Permohonan rujuk 8 persoalan undang-undang ditolak? Anwar fail rayuan ke Mahkamah Rayuan hari ini
Beliau juga menekankan bahawa persoalan yang dikemukakan sebelum ini menyentuh isu perlembagaan yang serius termasuk berkaitan perlindungan terhadap fungsi eksekutif, serta hak untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti termaktub dalam Perkara 8(1) Perlembagaan.
“Saya kekal komited sepenuhnya terhadap kedaulatan undang-undang, kebebasan mahkamah serta martabat pemerintahan demokrasi. Proses undang-undang akan berjalan seperti biasa dan saya akan terus melaksanakan amanah serta tanggungjawab saya tanpa sebarang gangguan atau kompromi,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung satu saman sivil yang difailkan terhadap beliau, yang dikatakan berkaitan dakwaan serangan seksual tujuh tahun lalu.
Sumber: FB Anwar Ibrahim