Fair Lady kecil, tapi misi besar!

Fair Lady kecil, tapi misi besar!

“Bot layar yang saya naiki namanya Fair Lady. Panjang 10.5 meter dan lebar cuma empat meter. Ia bot paling kecil dalam 18 bot Global Sumud Flotilla (GSF) yang belayar dari Itali.

Ada enam sukarelawan dalam Fair Lady. Tiga lelaki warga Itali, saya dan Farah Lee dari Malaysia serta seorang wanita kelahiran Maghribi yang dibesarkan di Amsterdam, Belanda.

Maaf saya tidak boleh menyatakan nama ‘ahli keluarga’ baharu saya dari Itali dan Maghribi itu atas sebab keselamatan yang ditetapkan penganjur.

Sehingga kini, sudah lima malam saya tidur dalam Fair Lady. Satu malam di Agusta dan empat malam di Portopalo Di Capo Passero.

Sudah lima hari juga saya menjalankan urusan harian dalam bot. Makan, minum, solat, ke tandas, menulis berita dan sebagainya.

Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik-baik saja. Tiada masalah besar dan keadaan kesihatan saya juga baik.

Bagaimanapun, dalam perbualan santai dengan seorang rakan Itali itu, dia memperingatkan bahawa saya belum boleh berkata segala-galanya okey.

Kata Leon (nama samaran), saya belum lagi diuji sepenuhnya kerana pelayaran kami ke perairan Gaza belum bermula.

Mengikut maklumat tidak rasmi, kami akan meninggalkan Teluk Portopalo di Capo Passero hari ini (semalam), tapi tak dimaklumkan lagi waktunya.

“Apabila kita sampai di tengah laut nanti, keadaan ombak lebih bergelora, tak sama dengan di pesisir pantai atau kawasan teluk,” kata Leon.

Menurutnya, ketika itu nanti saya akan diuji. Mampukah saya makan, minum, menggunakan tandas dan solat dalam keadaan laut bergelora.

Katanya, keadaan akan lebih mencabar kalau kami dilanda ribut atau angin kencang.

“Tapi, jangan takut. Kalau awak rasa tak selesa, pening, mabuk dan sebagainya, masuk dalam kabin dan baring saja di sofa tempat awak tidur,” kata Leon cuba menenangkan saya.

Kami menjangkakan mula belayar hari ini kerana flotila dari Sepanyol dan Tunisia dikhabarkan sudah memasuki perairan Itali.

Mengikut perkiraan, 18 bot flotila dari Itali akan bertemu mereka selepas empat hingga lima jam pelayaran.

Difahamkan, flotila dari Sepanyol dan Tunisia juga berjumlah 18 bot. Selepas bergabung 36 bot ini akan tiba di perairan Greece dalam masa empat atau lima hari.

Di Greece, ada empat atau lima bot akan menyertai kami dan insya-Allah, kira-kira 40 ini akan terus belayar ke Gaza yang dijangka mengambil masa tujuh ke lapan hari lagi.

Semoga pelayaran bersejarah ini berjaya sampai di destinasinya. Kami tahu ada halangan besar yang menanti iaitu bakal disekat dan ditahan tentera Israel.

Namun, kami tetap bercita-cita untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza semakin sengsara. Gaza, kau tunggu kami datang.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top