Faisal pening kepala anak rosakkan TV

Faisal pening kepala anak rosakkan TV

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyerang kebangsaan, Faisal Halim meluahkan rasa kesal dan kecewa apabila anaknya, Khalish Aryan, bermain bola di dalam rumah hingga mengakibatkan televisyen di kediaman mereka rosak.

Menerusi hantaran Instagram Story di akaun miliknya, Faisal berkongsi rakaman keadaan televisyennya yang rosak teruk dengan garisan berwarna muncul di hujung skrin, dipercayai akibat terkena bola yang disepak anaknya.

Dalam nada tegas namun bersahaja, Faisal menegur perbuatan anaknya yang dilihat tidak mendengar larangan untuk tidak bermain bola di dalam rumah.

“Tengok TV jadi apa dah? Main bola dalam rumah, tengok dah jadi apa ni? Siapa suruh main bola dalam rumah? Nak main bola, pergi main kat luar. Tengok keadaan TV tu, daddy nak tengok macam mana?” katanya dalam video berkenaan.

Menurut Faisal, ini bukan kali pertama dia menasihati anaknya agar tidak menyepak bola berhampiran televisyen, namun kejadian itu tetap berlaku.

“Berapa kali daddy dah cakap? Jangan sepak bola kat TV. Tu nak buat macam mana tu TV tu. Amboi!” katanya lagi sambil merakam reaksi Khalish yang hanya mampu mengangguk, akur dengan kesalahannya.

Dalam satu lagi perkongsian di platform sama, Faisal turut memuat naik gambar keadaan skrin TV miliknya yang rosak akibat insiden berkenaan.

“Minit ke-92, Khalish jaringkan gol,” tulisnya berseloroh menerusi kapsyen yang disertakan bagi menggambarkan insiden lucu tetapi turut mengundang rasa kecewa yang menimpa keluarganya.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top