Eugene: Juara Olimpik tiga kali berturut-turut dari Kenya, Faith Kipyegon memperbaharui rekod dunia 1,500 meter (m) miliknya, awal pagi tadi, apabila mencatat masa 3 minit (m) 48.68 saat (s) untuk merangkul kemenangan di Liga Berlian dekat Eugene, Oregon.
Faith memperbaiki rekod terdahulu, 3:49.04s, yang dilakukannya di pertemuan Liga Berlian di Paris pada 7 Julai 2024.
Pelari Kenya itu beraksi dalam acara 1,500m pertamanya musim ini, selepas usahanya muncul wanita pertama memecahkan halangan empat minit dalam acara satu batu pada acara khas di Paris 26 Jun lalu tidak berjaya.
Namun menurut Faith, persiapan untuk percubaan itu membantunya meningkatkan prestasi dalam acara kegemarannya.
“Saya rasa perbezaannya ialah saya benar-benar melakukan persiapan rapi untuk sesuatu yang istimewa, iaitu untuk berlari bawah empat minit dalam acara satu batu, dan saya memaksa diri saya menjadi semakin baik dari semasa ke semasa menjalng acara 1,500m. Jadi saya tahu masih mampu berlari bawah 3:49s,” katanya.
Faith berkata kemenangan ini menunjukkan dia berada di landasan tepat menuju Kejohanan Dunia di Tokyo, September ini.
“Saya rasa sedang berada dalam arah yang betul,” kata pelari berusia 31 tahun itu, yang masih belum membuat keputusan sama ada akan menyertai kedua-dua acara 1,500m dan 5,000m di kejohanan berprestij itu.
Pelari Ethiopia, Diribe Welteji menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 3:51.44s mengatasi pemenang pingat perak Olimpik dari Australia, Jessica Hull, yang cuba mengejar Faith hingga ke pusingan akhir sebelum berpuas hati di tempat ketiga dengan masa 3:52.67s.
“Untuk seseorang yang mampu muncul juara dan melakukannya berulang kali, dia memang luar biasa.
“Dia tahu saya akan beri cabaran kali ini, jadi dia benar-benar memberi tekanan dan menjadikannya sangat sukar dalam 500 meter terakhir,” kata Jessica mengenai Faith.
© New Straits Times Press (M) Bhd