Faizal Hussein mahu sampaikan mesej pada penonton

Faizal Hussein mahu sampaikan mesej pada penonton

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon senior, Faizal Hussein, 58, memberitahu dia tidak ada masalah jika siri Walid tidak menjadi fenomena seperti drama Bidaah yang ditayangkan pada tahun lalu.

Faizal atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Hussein berkata, apa yang penting, pembabitannya dalam projek itu (Walid) untuk menyampaikan mesejnya pada penonton.

“Alhamdulillah, setakat ini, baru tayangan untuk episod kedua. Kita kena tunggu hingga episod seterusnya dan saya harap cerita ini akan naik hingga pada penghujung episod nanti.

“Mungkin cerita ini tidak akan menjadi fenomena lagi tapi ia tetap menyajikan jalan cerita yang lebih menarik dan ia terpulang pada penerimaan penonton.

“Kalau mengikut jalan ceritanya dan cara penulis skrip (Erma Fatima) menggarap kesinambungan cerita ini, saya rasa ia akan menarik minat penonton sebab ada pembabitan dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Ditanya komen dari peminat pula, kata Faizal, sebenarnya mereka memang menunggu kesinambungan cerita Bidaah itu.

“Tapi apabila judulnya ditukar menjadi Walid, mereka (peminat) macam terkejut sikit kerana kenapa bukan Bidaah 2 dan kenapa jadi Walid pula?.

“Bagi saya pula, apabila judul drama itu ditukar kepada Walid, tentunya jalan cerita akan berkisarkan mengenai watak Walid iaitu macam mana Walid diselamatkan dan menyambung kesinambungannya untuk menunggang agama itu.

“Jadi siapa yang menolongnya itulah yang akan membuatkan jalan cerita itu menjadi lebih menarik pada episod seterusnya,” katanya.

Ditanya sama ada dia sudah bersedia dengan kecaman pula, kata Faizal, memang ada babak-babak yang akan mengundang kecaman kerana memang ada dalam skrip siri Walid.

Bagaimanapun, kata Faizal, dia tidak membaca komen mahupun kecaman dari netizen membabitkan siri Walid terutamanya di Threads.

“Saya juga mengelak dari membaca komen negatif kerana ia tidak memberi kesan apa-apa pun pada saya.

“Bagi saya, mereka yang beri komen itu kebanyakannya tidak menonton drama Walid dan hanya tengok ‘clipping’ (keratan) saja,” katanya.

Walid arahan Pali Yahya yang juga sekuel Bidaah ini terbitan Rumah Karya Citra dan ditayangkan secara eksklusif di Viu mulai 26 Februari lalu.

Selain Faizal drama 12 episod ini turut dibintangi Aqasha, Datuk A Tamimi Siregar, Marisa Yasmin, Vanidah Imran serta bintang Indonesia, Olla Ramlan dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top