Faizal Tahir guna nama 'Ahmad' elak dikenali ketika sertai misi bantuan

Faizal Tahir guna nama 'Ahmad' elak dikenali ketika sertai misi bantuan

Kuala Lumpur : Keikhlasan dan sikap merendah diri penyanyi Faizal Tahir menyertai aktiviti kemanusiaan di Aceh, Indonesia cukup mengagumkan ramai termasuk individu yang bersamanya dalam misi itu.

Seorang pesertanya iaitu Dr Ghafur Rahim Mustakim mendedahkan penyanyi Selamat Malam terbabit langsung tidak merungut dan merasai segala kekurangan atau kesusahan sepanjang misi terbabit.

“Kunjungan kali ini memang terpaksa bermalam di rumah mangsa banjir sebab lokasi misi jauh dari mana-mana penginapan. Banyak kali saya tanya, ‘abang okey ke kalau kita duduk rumah orang kampung?’

“Jawab dia ringkas, ‘tiada masalah’,” kongsinya dalam sebuah hantaran Instagram di mana kelihatan Faizal sedang lena tidur hanya beralaskan toto di sebuah rumah kampung.

Cabaran untuk misi yang berlangsung dari 18 hingga 21 Februari itu memang terasa daripada pelbagai aspek. Lokasi dikunjungi memaksa mereka tidur tanpa kipas, tilam mahupun selimut.

Kongsi Ghafur, tandas juga tidak sempurna selain terpaksa berdepan gangguan nyamuk pada waktu malam. Daripada segi hal lain termasuk makanan dan waktu bekerja pun Faizal langsung tidak berkira.

“Makan pula seadanya sahaja. Memang mencabar. Tetapi menariknya sepanjang misi ini dia langsung tidak ada hendak ‘komplain’ atau buat sebarang permintaan.

“Keluar awal pagi, turun edar bantuan sampai waktu berbuka, tidak pernah minta rehat,” katanya.

Lebih mengagumkan, Faizal selesa untuk ‘low profile’ dan menggunakan nama samaran sebagai Ahmad tatkala memperkenalkan dirinya kepada masyarakat yang disantuninya di lokasi itu.

“Bila tanya kenapa tidak mahu orang tahu dia artis, jawapan dia memang menikam kalbu sebab tidak mahu ada layanan berbeza-beza. Refleksi buat diri kita semua, moga boleh jadi contoh. Moga ada lebih ramai orang macam ini, insya-Allah,” luahnya.

Dalam satu hantaran video kelihatan Faizal turut menjadi imam ketika menunaikan solat secara berjemaah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top