Faizal Tahir tak menyesal tanggal baju

Faizal Tahir tak menyesal tanggal baju

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pernah mencetuskan kontroversi gara-gara aksi tidak berbaju di khalayak, penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir kini lebih selesa ‘berperang’ di zon konflik demi misi kemanusiaan selepas mengakui peristiwa tahun 2008 itu adalah titik perubahan paling bermakna buat dirinya.

Faizal atau pemilik nama Ahmad Faizal bin Mohammad Tahir, 47, menyifatkan peristiwa hitam yang mencetuskan kemarahan ramai satu ketika dulu sebenarnya menjadi titik tolak atau ‘turning point’ terbesar yang mengubah landskap hidup dan kerjaya seninya.

Menurut pelantun lagu Gemuruh itu, walaupun tindakannya itu menyebabkan dia digantung daripada muncul di televisyen dan dikenakan hukuman kerja sosial, ia sebenarnya adalah ‘rahmat di sebalik duka’.

“Saya tak menyesal langsung buka baju masa konsert 2008 itu. Sebab itulah punca saya jadi Faizal Tahir yang hari ini. Masa peristiwa itu berlaku, saya ‘diban’ untuk beberapa bulan dari dunia seni, tapi yang paling bagus saya dihukum melakukan kerja sosial.

“Masa itulah saya ke rumah anak yatim, bantu orang sana sini sebagai hukuman. Tapi rupanya itu yang buka hati saya untuk terlibat dalam kerja kemanusiaan,” tulis Nadir.

Perkara ini dikongsikan Faizal kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al-Nuri yang dimuat naik dalam satu hantarannya di Instagramnya.

Berkongsi lanjut, Faizal mengakui pernah merasa megah dengan populariti selepas satu persembahan di Hard Rock Cafe sekitar tahun 2010 sebelum hatinya ‘dijentik’ dengan satu peristiwa di peringkat antarabangsa.

“Masa itu memang rasa ‘power’, orang jerit nama saya, rasa macam di puncak dunia. Malam itu, saya balik rumah dan buka Twitter untuk belek-belek berita.

“Tapi yang keluar masa itu bukan berita Faizal penyanyi nombor satu Malaysia, tapi berita pasal Mavi Marmara.

“Bila saya baca berita itu, orang tengah naik kapal ke Gaza sampai syahid kena tembak, saya sebut pada diri sendiri, ‘Ya Allah, aku tengah buat apa dengan hidup aku ini?’ Orang lain tengah mati untuk perjuangan, tapi aku sibuk dengan kehidupan sendiri,” tulisnya.

Dalam hantaran yang sama, Nadir turut memuji komitmen Faizal yang kini bukan sekadar artis nombor satu, malah sanggup berdepan bahaya demi misi kemanusiaan termasuk ke Syria dan Sudan.

“Saya yakin kalian pun kenal Faizal Tahir yang sekarang, ke hulu hilir ikut misi ke Syria, Jepun dan kali ini bersama kami ke Sudan. Saya maklum siap-siap kepada Abang Faizal.

“Misi kali ini mencabar, kena naik kenderaan 4×4 selama 20 jam, ini misi kali pertama selepas perang, tak tahu nak jadi apa. Lapangan terbang Sudan ini tempat konflik, berisiko serangan dron. Tapi jawapan Abang Faizal tetap sama iaitu ‘Boleh!’ Alhamdulillah,” tulisnya.

Menurut Nadir, sehingga kini Faizal masih dianggap antara artis popular negara, malah dalam masa sama dia berjaya menjadi juara di hati ummah yang sedang terluka.

Nadir turut berharap agar Allah SWT terus ‘menggunakan’ setiap insan sebaik mungkin, selaras dengan kemampuan dan kekuatan yang dimiliki masing-masing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top