Fakhrul Arif sempat beri wang kepada adik bongsu, perangai tidak seperti kebiasaan

Fakhrul Arif sempat beri wang kepada adik bongsu, perangai tidak seperti kebiasaan

am@hmetro.com.my

Besut : “Arwah dikatakan sempat bagi wang RM 21 pada adik bongsunya sebelum naik bas,” kata Izwan Iskandar Che Sopian, 27.

Izwan sepupu kepada salah seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fakhrul Arif Rosdi, 20, yang terkorban dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi.

“Arwah sebelum ini tidak pernah berbuat demikian mungkin wang itu untuk belanja sekolah adiknya, Effa Shahira Rosdi, 16.

“Adik arwah beritahu tak pernah dapat duit daripada arwah, malam tadi pertama kali dapat tapi dia rasa terkilan kerana wang pemberian terakhir arwah abangnya itu hilang ketika sampai di rumah,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di Perumahan Bukit Cina, Kampung Pasir Akar, di sini, hari ini.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah ketika menghadiri majlis kenduri saudara di kawasan sempadan Terengganu Kelantan di Kampung Bukit Yong, Pasir Putih, Kelantan.

“Arwah dilihat lebih banyak termenung dan tidak banyak bercakap walaupun berada bersama saudara mara.

“Selalunya dia rajin juga berbual namun semalam dia lebih suka menyendiri dan hanya dengar orang lain bersembang.

“Masa itu kami rasa pelik tengok perangai dia lain macam tak seperti kebiasaan,” katanya.

Katanya, arwah adalah anak ketiga daripada lima beradik dan kini mengikuti pengajian dalam jurusan Perakaunan di UPSI.

“Kami hanya mengetahui mengenai tragedi itu sekitar jam 4 pagi selepas kakak mangsa melihat berita kemalangan tular di media sosial.

“Waktu dapat tahu arwah kemalangan kami segera menghubungi pihak hospital namun keadaan ketika itu sibuk dan pengesahan rasmi arwah antara terkorban hanya diterima kira-kira jam 7.30 pagi,” katanya.

Katanya, empat ahli keluarga Fakhrul termasuk ibu bapanya bertolak ke Gerik pagi tadi untuk menguruskan jenazah mangsa.

“Arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Akar, Hulu Besut apabila tiba dari Hospital Gerik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top