FAM bernasib baik terlepas hukuman lebih berat – Peguam

FAM bernasib baik terlepas hukuman lebih berat – Peguam

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) disifatkan ‘bernasib baik’ apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tidak mengenakan hukuman yang lebih berat susulan skandal pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain.

Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, badan induk bola sepak negara itu sepatutnya berasa lega kerana hukuman yang dikenakan adalah mengikut Artikel 56 berkaitan ketidaklayakan pemain.

Menurutnya, Artikel 56 adalah jauh lebih ringan berbanding Artikel 61 yang merujuk secara khusus kepada kesalahan pemalsuan dokumen dan maklumat.

“Jadi kita boleh anggap FAM terselamat kerana AFC memilih Artikel 56. Mengapa artikel itu dipilih berbanding Artikel 61 adalah perkara yang mungkin boleh dijelaskan oleh AFC sendiri.

“Situasi akan menjadi jauh lebih buruk buat bola sepak negara sekiranya Artikel 61 digunakan dalam kes berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai impak sekiranya Artikel 61 digunakan, Nik Erman mendedahkan skuad kebangsaan berkemungkinan besar akan disingkirkan terus daripada pertandingan sedia ada.

Malah katanya, Harimau Malaya juga berisiko tinggi untuk tidak dibenarkan beraksi dalam sebarang kejohanan pada masa depan.

“Perbezaan ketara juga dapat dilihat daripada jumlah denda yang dikenakan. Artikel 61 memperuntukkan hukuman lebih tinggi dengan denda minimum mencecah sekurang-kurangnya RM79,130.

“Manakala bagi Artikel 56 pula, jumlah dendanya hanya sekitar RM3,956,” jelasnya.

Tambahnya, walaupun FAM dikenakan hukuman mengikut Artikel 56, badan induk itu masih berupaya mengekalkan kedudukan skuad negara dalam saingan semasa walaupun terpaksa berdepan pemotongan mata.

“Hukuman AFC terhadap FAM ini menetapkan jika kesalahan hanya diketahui selepas tamat tempoh pertandingan, larangan menyertai pertandingan akan datang boleh dikenakan.

“Namun, hukuman ini masih membolehkan skuad Harimau Malaya terus bertanding walaupun enam mata sudah ditolak,” katanya.

Sebelum ini, AFC bertindak membatalkan dua kemenangan yang diraih Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia Kumpulan F menentang Nepal dan Vietnam.

Keputusan itu dibuat selepas FAM didapati menggunakan pemain yang tidak layak, sekali gus menyaksikan impian skuad negara untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2027 terkubur.

Scroll to Top