FAM gantung Zulkarnain serta-merta

FAM gantung Zulkarnain serta-merta

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantung serta-merta pengadil, Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia (Liga M) 2023.

Keputusan itu dibuat selepas Zulkarnain didapati terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti ketika perlawanan Liga Super antara Sabah dan Pulau Pinang di Stadium Likas, Kota Kinabalu, kelmarin.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dalam kenyataan menjelaskan, tindakan penggantungan itu dibuat selepas Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil yang diketuai oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil bersidang, semalam.

Noor Azman berkata, menerusi mesyuarat itu, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil meneliti laporan daripada penilai pengadil perlawanan berkenaan serta klip rakaman video setiap insiden.

“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM sebulat suara mendapati bahawa pengadil perlawanan itu, Zulkarnain Zakaria terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah FC pada minit ke-41 dan minit ke-90+9 (masa kecederaan).

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023,” katanya.

Semalam, media melaporkan Zulkarnain sekali lagi menjadi bahan kritikan dan kecaman beberapa pihak terutama peminat bola sepak tempatan susulan beberapa keputusan yang dibuatnya pada aksi Sabah dan Penang.

Paling menjadi tumpuan apabila Zulkarnain memberikan lima sepakan penalti termasuk tiga kepada Sabah dan dua buat Penang.

Ini bukan kritikan pertama dilemparkan beberapa pihak ke atas Zulkarnain yang mana pada musim lalu juga dia mencetuskan kemarahan kem Selangor yang mempertikaikan mutu pengadilannya.

Selain itu, Noor Azman menegaskan bahawa Jawatankuasa Pengadil FAM memandangkan serius berkenaan mutu pengadilan dan akan memberikan peringatan serta teguran keras kepada semua pengadil supaya sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik.

“Jawatankuasa juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil yang menampilkan mutu pengadilan tidak memenuhi piawaian ditetapkan pada perlawanan Liga Malaysia 2023 akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette