sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak boleh lagi berpeluk tubuh dalam isu pembangunan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) jika tidak mahu sejarah hitam kekalahan memalukan 0-10 di pentas antarabangsa berulang.
Ini kerana, sekiranya gagal merangka pelan jangka panjang mantap, situasi itu berisiko menjerumuskan bola sepak negara ke kancah kehinaan sekali lagi.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menyarankan FAM lebih peka untuk mengubah nasib pemain muda dan perlu belajar daripada sejarah lalu kerana kegagalan merencanakan strategi mantap akan menyebabkan skuad senior terus menjadi pasukan belasahan di pentas antarabangsa.
“Kalau FAM tidak disusun dengan elok serta tidak melakukan model perancangan baik sama ada liga atau latihan berpusat seperti Harimau Muda (dahulu), ia akan menghasilkan ‘harimau’ yang gagal nanti.
“Sebab itu dahulu Harimau Muda dibubarkan dan selepas itu, kita beraksi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018, Malaysia dibelasah UAE 0-10. Jadi, kita nak ulang sejarah lama semula ke?,” katanya kepada Arena Metro.
Justeru, FAM perlu bertindak segera termasuk mengadakan perbincangan bersama mereka yang mempunyai kepakaran dalam ilmu bola sepak bagi menghasilkan idea bernas untuk melahirkan pasukan B-23 terkuat dan bukan layu di pentas antarabangsa.
Beliau percaya perkara itu mampu memberi keputusan positif kerana mereka bukan orang berkepentingan, sebaliknya ingin melihat pasukan negara menjadi yang terbaik sama ada di pentas ASEAN, Asia mahupun dunia.
“Saya fikir Jawatankuasa Teknikal FAM perlu bersidang sambil dibantu pakar penyelidik untuk melihat model terbaik bagi pasukan B-23.
“Ini adalah masa depan bola sepak negara sebab Harimau Muda ini akan bermain di Sukan SEA, Kelayakan Piala Asia B-23 dan selepas dua atau tiga tahun, mereka akan menjadi harimau sebenar (skuad senior).
“Saya percaya gabungan pakar dan otak bola sepak yang ada perlu digembleng untuk menghasilkan pembangunan bola sepak B-23 kerana ia penting untuk melahirkan skuad terbaik pada masa depan,” katanya.
Terdahulu, skuad kendalian Nafuzi Zain kalah mengejut 0-2 kepada Filipina di Piala ASEAN B-23, sebelum tersekat di peringkat kumpulan.
Ia mencetuskan kebimbangan mengenai keupayaan skuad muda negara untuk menghadapi kejohanan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 pada September depan dan Sukan SEA Thailand, Disember ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd