FAM jangan berlengah

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta bertindak segera mengundang pasukan terbaik untuk beraksi pada Pestabola Merdeka yang dijadualkan berlangsung Oktober depan.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, langkah itu perlu bagi memastikan Harimau Malaya tidak kempunan beraksi menentang pasukan yang berada di ranking lebih baik sebelum kempen Piala Asia 2023.

“Saya setuju jika FAM bercadang mahu menjemput Syria (ke-90 dunia) dan Palestin (93) yang berada di ranking yang lebih baik daripada Malaysia. Kalau nak jemput ranking yang lebih tinggi pun tak ada salahnya.

“Namun, langkah segera perlu dilakukan FAM untuk menjemput pasukan berkenaan kerana kita tahu mereka juga mesti ada perancangan lain dalam kalendar masing-masing.

“Dengan ketiadaan kejohanan besar tahun ini, Pestabola Merdeka boleh menjadi persediaan yang baik buat Malaysia menentang pasukan kuat sebelum Piala Asia nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebelum ini, FAM mengumumkan Pestabola Merdeka yang kali terakhir dianjurkan pada 2013 akan kembali berlangsung tahun ini dan dijadualkan pada Oktober depan.

Badan induk bola sepak negara itu dilaporkan bercadang untuk mengundang beberapa pasukan seperti Syria dan Palestin, manakala India mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini.

Dalam pada itu, Khalid menyifatkan keputusan untuk mengundang pasukan di ranking yang tinggi juga akan mengembalikan semula prestij kejohanan tersebut yang sebelum ini dianggap sebagai trofi kebanggaan Asia.

Beliau yang pernah beberapa kali beraksi dalam Pestabola Merdeka juga percaya penyokong bola sepak negara amat merindui kejohanan tersebut yang cukup meriah apabila dilangsungkan setiap tahun.

“Kejohanan ini ada prestijnya yang tersendiri dengan penampilan pasukan dari Amerika Latin selain Korea Selatan dan Jepun yang sering menjadi pasukan utama sejak piala tersebut diperkenalkan.

“Namun, saya melihat ini langkah terbaik untuk bergerak sedikit demi sedikit untuk kembali memperkenalkan piala ini dan mengembalikan kegemilangannya,” ujarnya.