mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda AS$1,250 (RM4,900) oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas didapati lewat menghantar permohonan kelulusan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2.
Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Tatatertib AFC menerusi pengumuman rasmi pada 25 Februari lalu.
Kesalahan berkenaan membabitkan aksi persahabatan antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Timor Leste yang berlangsung pada 9 November, tahun lalu.
Perlawanan itu menjadi medan pemanas badan buat Timor Leste sebelum menghadapi Tajikistan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.
Ini adalah kes keempat membabitkan kesalahan sama dilakukan FAM sehingga badan induk bola sepak negara itu dikenakan denda oleh AFC.
FAM bukan satu-satunya persatuan bola sepak kebangsaan yang dikenakan tindakan kerana kesalahan lewat menghantar permohonan kelulusan perlawanan antarabangsa Tier 2.
Turut dikenakan denda adalah Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF), Persatuan Bolasepak Uzbekistan (UFA) dan Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA).
Dalam aksi berkenaan, NSFC yang ketika itu dibimbing Nidzam Jamil menewaskan Timor Leste 2-1 dengan dua gol dijaringkan penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




