firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serius dan komited untuk mengeksport lebih ramai bakat muda tempatan ke luar negara sama ada pemain lelaki mahupun wanita.
Perkara itu dinyatakan Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang mengakui mendapat reaksi cukup positif daripada ramai pihak di luar negara.
Katanya, dalam lawatan kerja ke luar negara termasuk di Australia baru-baru ini menyaksikan ramai kagum dengan kebolehan anak tempatan.
“Bukan sekadar menonton perlawanan membabitkan pasukan kita, tetapi untuk berbincang dengan persekutuan di sana, termasuk presidennya sendiri.
“Antara perbincangan adalah mengenai bagaimana kita boleh menjalin kerjasama atau penglibatan supaya pemain kita dapat ke luar negara.
“Jadi, perkara ini adalah sebahagian daripada perancangan kita,” katanya.
Ujar Joehari lagi, pendedahan untuk pemain muda adalah penting dalam usaha mematangkan setiap pemain mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“Ini adaalah satu perkembangan positif (ramai memuji bakat tempatan). Saya rasa ini benar-benar menyokong usaha kita untuk menghantar pemain ke luar negara,” katanya.
Ketika ini, tiga ubi muda negara dari Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) iaitu Izzuddin Afif Nazaruddin, Muhammad Iman Danish Mohd Shukor dan Muhammad Ilhaam Azani Mohd Azamin semakin hampir diikat kelab utama Liga Bosnia, FK Sarajevo.
Untuk rekod, kali terakhir pemain negara meraih kontrak bersama kelab utama Eropah adalah menerusi Luqman Hakim Shamsudin bersama kelab Belgium, KV Kortrijk.
Luqman muncul sebagai anak tempatan pertama mengikat kontrak dengan kelab yang beraksi di divisiyen satu di Eropah pada 2020 menerusi tawaran selama lima musim.
© New Straits Times Press (M) Bhd