FAM mahu pengadil kebangsaan sertai Piala Dunia 2026

FAM mahu pengadil kebangsaan sertai Piala Dunia 2026

SHAH ALAM – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu memastikan lebih ramai pengadil tempatan menyertai dan mengadili perlawanan bola sepak di pentas dunia terutamanya kejohanan Bola Sepak Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS) pada 2026 nanti.

Bagi tujuan itu, presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin telah mengarahkan Jawatankuasa Pengadil Kebangsaan menyediakan satu laporan khusus untuk menyusun dan melaksanakan perancangan tersebut.

Katanya, kali terakhir Malaysia menghantar pengadil kebangsaan untuk mengambil bahagian mengadili perlawanan temasya empat tahun sekali itu adalah pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Reka bentuk jersi baharu pengadil bagi musim 2023 yang diperkenal pada majlis pelancaran dan majlis makan malam bersama pengadil Kebangsaan di Hotel Concorde, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 JANUARI 2023.

“Kita telah melihat kali terakhir pengadil kita mengadili perlawanan pada Piala Dunia 2010 di Afrika iaitu Subkhiddin Mohd Salleh pengadil keempat perlawanan pembukaan tuan rumah Afrika Selatan ketika itu.

“Sejak itu sudah 12 tahun berlalu pengadil kita masih belum berpeluang mengambil bahagian lagi dalam temasya dunia empat tahun sekali itu termasuk dalam Qatar 2022 yang tamat 19 Disember lalu.

“Oleh itu, untuk temasya Piala Dunia akan datang di AS dan Mexico yang akan jadi tuan rumah bersama, kita perlu bekerja keras agar memastikan pengadil kita mengambil bahagian di sana,” katanya dalam majlis pelancaran jersi baharu pengadil bola sepak kebangsaan musim 2023 di sini malam tadi.

Tambah beliau, FAM perlu mencari satu idea bagaimana untuk merealisasikan rancangan tersebut.

Beliau mahu jawatankuasa ini menyediakan laporan dan merancang mencari kaedah menekan pengadil untuk mengambil bahagian dalam Piala Dunia setiap empat tahun sekali itu secara berterusan pada masa akan datang.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bergambar bersama barisan pengadil selepas melancarkan jersi baharu pengadil bagi musim 2023 serta majlis makan malam bersama pengadil Kebangsaan di Hotel Concorde, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 JANUARI 2023.

“Kita tak mahu ketinggalan dalam mengadili Piala Dunia kerana kita perlu melahirkan pengadil berkualiti dan menyerlah demi memartabatkan mutu pengadilan bola sepak negara selain sibuk dalam liga bola sepak domestik sahaja.

“Sekarang kita nampak Muhammad Nazmi Nasaruddin yang diangkat sebagai pengadil terbaik bagi 2022 malam ini berpeluang cerah untuk mengikut jejak langkah Subkhiddin  sebagai pengadil di pentas dunia,” tegasnya.-MalaysiaGazette