mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemecatan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan tindakan itu dilaksanakan bagi mengelak isu lebih besar membabitkan geran tahunan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, proses untuk PFA kembali sebagai ahli gabungan tidak berlaku secara automatik meskipun mereka sudah menyelesaikan masalah dengan FIFA.
“Mereka kena tunggu kongres seterusnya. Jika PFA boleh selesai dengan FIFA, FIFA bagi pelepasan… Mereka kena mohon baliklah pasal kita sudah pecat persatuan itu. Apa pun kena mohon balik sebab kita sudah pecat dia,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman pula menjelaskan langkah itu dibuat selepas FIFA mengaitkan kedudukan PFA dengan dana tahunan yang sepatutnya diterima FAM.
“Perkara ini sebenarnya tujuan utama adalah FIFA sudah mengarahkan kita untuk memecat Persatuan Bolasepak Perlis dan juga dia membabitkan geran terhadap kita.
“Maknanya kalau kita tak memecat, maka perkara itu akan membabitkan geran tahunan daripada FIFA terhadap FAM,” kata Azman.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff menegaskan, pemecatan itu bukan sekadar memenuhi syarat FIFA, namun menjadi mesej jelas kepada ahli gabungan lain supaya tidak mengambil mudah sebarang isu berkaitan.
“Apa yang orang kata sebagai peringatan keras kepada semua ni. Maknanya jangan bermain dengan isu-isu ini membabitkan FIFA. Sebab kita dalam bola sepak ini badan yang terbesar adalah FIFA.
“Kalau FIFA sudah menjatuhkan atau pun mengarah sesuatu, kita di peringkat negeri walaupun mahu tak mahu kita kena ikut. Sebab FIFA pun boleh gantung kita kalau kita tak ikut pula arahan FIFA,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd