mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap tujuh pemain negara kelihatan tidak seimbang jika dibandingkan dengan kes-kes serupa sebelum ini.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, FAM menjelaskan pihaknya akan menilai keputusan penuh mahkamah itu selepas dokumen lengkap diterima, sambil menegaskan mereka tetap menghormati bidang kuasa CAS.
“FAM mengesahkan menerima keputusan berkuat kuasa yang dikeluarkan CAS berhubung rayuan yang difailkan oleh FAM dan tujuh pemain terbabit.
“Rayuan FAM ditolak manakala rayuan para pemain diterima sebahagiannya. Hukuman mereka dipinda, namun mereka masih tidak dibenarkan bermain selama lapan bulan lagi,” kata kenyataan itu.
Menurut FAM, alasan penuh keputusan itu masih belum diterima, dan sebarang ulasan lanjut hanya akan dibuat selepas butiran lengkap diteliti.
Sepanjang prosiding, FAM mengaku bertanggungjawab atas kegagalan penyeliaan yang berlaku.
Siasatan lanjut oleh agensi kerajaan Malaysia serta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) masih berjalan, dan FAM memberi jaminan akan terus bekerjasama sepenuhnya.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.
Mereka dikenakan penggantungan 12 bulan daripada perlawanan rasmi, tetapi masih dibenarkan menyertai aktiviti bola sepak lain.
CAS mendapati kesalahan memalsukan dokumen kelayakan memang terbukti dan hukuman 12 bulan adalah munasabah dan seimbang.
Namun, FAM menyifatkan keputusan itu mengecewakan, khususnya bagi pemain yang tidak terlibat dalam pentadbiran dan tidak mengetahui sebarang isu dokumen.
“Mereka adalah warganegara Malaysia yang telah dianugerahkan kewarganegaraan mengikut peruntukan undang-undang negara,” kata FAM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




