firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan akan mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas menerima penghakiman penuh berhubung keputusan tatatertib berkaitan isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan badan induk tempatan itu, FAM menegaskan semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu ini sudah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera melalui saluran rasmi.
“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa pemain “memperoleh dokumen yang dipalsukan” atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan.
“FAM menegaskan tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA.
“Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Pada setiap masa, pemain bertindak dengan penuh niat baik, bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM.
“FAM berpendapat penggambaran ini adalah tidak tepat serta tidak adil, dan perkara ini akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi.
“FAM kekal komited untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain, serta memastikan proses ini berjalan dengan telus dan mengikut peraturan.
“FAM akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk memperjuangkan kes ini,” kata kenyataan itu.
Badan induk berkenaan turut menegaskan, latar belakang dan sejarah keluarga tujuh pemain berkenaan tidak akan dikongsikan kepada umum.
“FAM juga ingin menegaskan kes ini melibatkan dan mengandungi maklumat rasmi berhubung prosedur Kerajaan Malaysia bagi pengeluaran dan pengesahan pasport.
“Selaras dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, sebarang pendedahan berkaitan bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali.
“Justeru, FAM terikat secara undang-undang untuk mengekalkan kerahsiaan terhadap elemen-elemen tersebut. Oleh itu, FAM hanya akan berkongsi maklumat berkenaan dengan pihak FIFA bagi tujuan kes ini sahaja,” kata kenyataan sama.
Terdahulu, FIFA mengeluarkan penghakiman penuh serta alasan di sebalik tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap FAM dan tujuh pemain selepas mengesahkan wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal dikemukakan semasa proses pendaftaran pemain terbabit.
Dalam laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision”, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan hukuman itu dikenakan susulan pelanggaran di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA babitkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.
Siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan dihantar oleh FAM termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain mengandungi butiran tidak sepadan dengan rekod asal di negara kelahiran sebenar pemain-pemain berkenaan.
Semakan lanjut mendapati individu yang dinamakan sebagai datuk dan nenek kepada tujuh pemain itu bukanlah dilahirkan di Malaysia, bertentangan dengan maklumat dikemukakan kepada FIFA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




