FAM serah SPRM siasat isu NTC

FAM serah SPRM siasat isu NTC

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan dengan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) yang bakal dibina di Putrajaya kelak.

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa pihaknya juga sudah menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada exco untuk mengadakan sesi ‘hati ke hati’ bersama pengurusan badan induk bola sepak itu.

Malah, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Integriti FAM bagi menambahbaik beberapa perkara yang perlu dilakukan bagi memantapkan lagi urustadbir dan tatakelola persatuan itu.

“Kita tunggu pihak berkuasa buat kenyataan. Jangan tuduh FAM buat salah dan biarkan pihak berkuasa jalankan tugasnya di situ.

“Di peringkat kita, kita sudah melantik beberapa ahli jawantankuasa eksekutif bersama Tan Sri Aseh Che Mat untuk menambah baik beberapa perkara lagi,” katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan SPRM mengesahkan pihaknya sudah menjalankan siasatan berkaitan isu membabitkan FAM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan siasatan pihaknya hanya tertumpu kepada satu isu iaitu pembinaan projek NTC.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan masuk campur mengenai isu pentadbiran badan induk bola sepak negara itu.

FAM sebelum ini menjadi perhatian umum susulan tersebar surat layang dengan pembinaan NTC turut menjadi isu selepas projek itu juga disebut dalam surat berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd