FAMA Pahang sedia beli tembikai 12 pekebun

FAMA Pahang sedia beli tembikai 12 pekebun

am@hmetro.com.my

Kuantan: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) pembelian tembikai jenis boci hasil tanaman 12 pekebun Kampung Ubai, di sini.

Pengarahnya, Rashiha Mamat berkata, tanaman seluas 10.32 hektar diusahakan dengan anggaran pengeluaran sebanyak 173 tan. Pengeluaran fasa pertama bermula awal bulan ini dan dijangka berakhir hujung bulan depan.

Katanya, harga lantai belian tembikai bermula pada harga 85 sen sekilogram (kg) dan tambahan 20 sen bagi pekebun yang memiliki sijil Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP). Harga lantai ditawarkan dipersetujui oleh pekebun yang terdiri daripada peserta ladang kontrak FAMA.

Menurutnya, harga semasa tembikai jenis boci kini mencecah 70 sen sekilogram berikutan lebihan pengeluaran pekebun di Terengganu dan Kelantan yang mula berada di pasaran negeri ini sejak awal bulan ini. Faktor berkenaan menyebabkan harga jatuh berbanding sebelum ini.

“Kita perlu bertindak segera bagi membantu pekebun tembikai yang juga peserta ladang kontrak FAMA, membeli hasil secara berperingkat pendekatan yang mampu membantu pekebun daripada mengalami kerugian disebabkan harga rendah.

“Kita membenarkan 12 pekebun peserta ladang kontrak menjual hasil mereka kepada pemborong sekiranya harga yang ditawarkan lebih tinggi. Mereka juga digalakkan untuk menjual sendiri hasil di kawasan tumpuan seperti tepi Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Ubai,” katanya pada Majlis MoU Pembelian Tembikai 12 pekebun di Kampung Ubai, di sini, hari ini.

Pada program berkenaan FAMA turut menyediakan bantuan pertanian kepada pekebun seperti kereta sorong, kanopi dan bakul buah.

Beliau menambah, tempoh pengeluaran tembikai Kampung Ubai tahun ini bermula akhir bulan lalu dan berakhir bulan depan. Permintaan hasil pertanian itu dijangka meningkat dua hingga tiga kali ganda pada minggu terakhir Ramadan hingga Aidilfitri.

Rashiha berkata, pihaknya sentiasa berusaha membantu pekebun peserta ladang kontrak FAMA dalam memastikan mereka tidak berhadapan dengan masalah pemasaran hingga mengundang kerugian disebabkan hasil pertanian rosak kerana tidak dapat dijual mengikuti jadual pengeluaran.

Bagi Abdul Rahmani Khadri, 34, hampir setiap tahun dia menjual tembikai kepada FAMA terutama apabila berlaku lambakan buah hingga menyebabkan kejatuhan harga yang mengundang pada kerugian.

Menurutnya, dia lebih rela menjual tembikai kepada FAMA walaupun agensi berkenaan membeli pada harga lebih rendah selepas persetujuan kedua belah pihak, menjual pada harga 85 sen sekilogram masih dianggap tinggi dan menguntungkan.

“Fasa pertama hasil saya menjual sebanyak tiga tan kepada FAMA dengan harga RM1 sekilogram. Kakitangan agensi berkenaan terus datang ke ladang di Kampung Ubai mengambil buah gred A yang telah dikumpul untuk dihantar ke Jerantut.

“Saya mengusahakan dua kawasan kebun tembikai jenis boci secara berperingkat, kebun pertama seluas 2.43 hektar yang kini sedang mengeluarkan hasil dijangka mencecah 48 tan. Kebun kedua seluas 1.62 hektar yang mengeluarkan hasil selepas Aidilfitri nanti,” katanya yang turut menjual buah ditepi Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Ubai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top