Anggota kumpulan The Gadys, Thamiera Chan tampil memberikan kenyataan berkenaan isu dia dan sepupu, penyanyi Didi Astillah yang didakwa pulang awal selepeas menerima kritikan pedas juri program Famili Duo 4 (FD4), Mas Idayu.
Menurut Thamiera, sebagai manusia biasa, tipulah jika dia tidak terasa hati mendengar komen Mas Idayu.
Pada masa yang sama, Thamiera mengaku dia terlalu sensitif ketika menerima kritikan Mas Idayu pada malam itu.
“Ada sebab kenapa kami tak tunggu setelah selesai konsert. Kami ada masalah yang kita tak boleh nak elak. Didi ada urusan mengenai konsert Sumandak Stars.
“Saya pula terasa hati sedikit. Tipulah kalau saya tak terasa hati mendengar kritikan, saya juga manusia biasa. Tapi untuk minggu ini, kami akan cuba melakukan yang terbaik, Insya-Allah,” katanya kepada XTRA.
Thamiera ditemui bersama anggota The Gadys di majlis pembukaan butik Akemi Home Flagship di Sunway Pyramid, pada Jumaat.
Tidak menyimpan perasaan marah atau dendam terhadap juri FD4 itu, Thamiera mendedahkan Mas Idayu merupakan seorang wanita yang mempunyai hati lembut.
“Ketika itu saya berhati tisu, tapi tidaklah saya rasa marah atau menyimpan dendam. Sebagai seorang artis baharu, memang saya terasa, tipu kalau tak terasa tapi sejujurnya saya tak benci dengan Mummy.
“Selepas insiden itu, saya tak ada berhubung dengan Mummy tapi Mummy ada berpesan kepada Didi. Mummy berharap kami buat yang terbaik sahaja dan jangan berputus asa,” katanya.
Terdahulu, ketiadaan Thamiera dan Didi di penutup konsert kelima FD4 mencetuskan spekulasi kerana duo sepupu itu menerima komen pedas dari Mas Idayu selaku juri program.
Famili Duo 4 dikemudikan oleh gandingan selebriti serba boleh iaitu Janna Nick dan Sharif Zero sebagai hos program manakala kerusi juri pula diduduki oleh figura hebat, Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.
Enam pasangan yang bersaing dalam Famili Duo 4 adalah Shiha Zikir & Ieda Zikir (adik-beradik), Zahid & Anne (adik-beradik), Ayie Elham Floor 88 & Salma Asis (sepupu), Tomok & Sharul Kamal (sepupu), Didi Astillah & Thamiera Chan (sepupu) dan Naqiu & Joey Daud (sepupu).
Mereka bersaing selama lapan minggu bagi merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000.
Pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri dengan pemarkahan sebanyak 70 peratus dan undian atas talian melalui Tonton (30 peratus). Pemenang mingguan membawa pulang gelaran Duo Terbaik bersama wang tunai bernilai RM10,000.
Jangan lupa saksikan Famili Duo 4 yang bersiaran selama lapan episod bermula 20 Oktober 2024, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan boleh distrim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.




