Filem Munajjim: Sekutu Iblis dikategorikan antara naskhah paling seram yang bakal ditayangkan di pawagam hujung bulan ini.
Yusrych Global Sdn Bhd selaku syarikat produksi yang menghasilkan filem ini mengangkat kisah amalan ilmu hitam dan syirik yang masih wujud dalam masyarakat moden.
Penerbitnya, Yusry Makmor berkata, filem ini bukan sekadar filem seram biasa kerana ia diinspirasikan daripada kisah benar dengan menyentuh mengenai realiti masyarakat yang masih bergantung kepada ilmu hitam dan bomoh dalam mencari penyelesaian mudah ketika berhadapan sesuatu masalah.
“Filem ini bukan sekadar hiburan biasa, tetapi ia memberi kesedaran bahawa amalan syirik ini sememangnya memberi impak negatif dan bersekutu dengan iblis yang jelas hukumnya adalah haram,” katanya.
Tambah Yusry yang sebelum ini menerbitkan filem Bisikan Dosa, filem terbaharu syarikatnya itu juga membawa penonton menelusuri sebuah keluarga yang sangat mempercayai bomoh dalam amalan hidup mereka.
Katanya, penonton akan disajikan dengan kisah seram yang tidak klise, di mana ‘pendamping’ yang ditampilkan dalam filem berkenaan adalah jelmaan hantu dan jin yang bersekutu dengan manusia untuk menyesatkan akidah mereka.
“Bukan hanya jalan cerita menyentuh emosi dan memberi pengajaran. Filem ini turut dibintangi barisan pelakon hebat tanah air yang memainkan peranan menghidupkan watak masing-masing dengan cukup baik,” katanya.
Munajjim: Sekutu Iblis diarahkan oleh Faizul A Rashid dan menampilkan lakonan aktor popular, Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis dan adik Daniel Aqil.
Menurut Faizul, filem ini bakal memberi pengalaman sinematik yang memuaskan, malah mengajak penonton berfikir mengenai bahaya dan realiti amalan khurafat dalam kehidupan yang masih berlaku hingga sekarang.
“Filem ini menampilkan keseraman yang lebih mendalam dan berunsur realistik. Selain diadun dengan visual sinematik serta jalan cerita yang kuat dan penuh mesej,” katanya.
Filem yang menjalani penggambaran sekitar Januari lalu di beberapa lokasi di Selangor adalah idea asal daripada Yusry sendiri bersama Zafran Aziz dan Rozita Mat Isa.
Ia turut mendapat kerjasama syarikat gergasi TGV edaran antarabangsa oleh D’Ayu Pictures melalui sokongan promosi Empire Solutions bakal menemui penonton dan menggegarkan pawagam seluruh negara pada 31 Julai ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd